LONDON: Peminat bola sepak dan hiburan berkongsi keterujaan selepas penyerang Manchester City, Erling Haaland memuat naik gambar bersama anggota kumpulan K-pop terkenal, Blackpink, Jisoo.
Semalam, Haaland, 23, berkongsi gambar dia dan Jisoo memegang jersi City, sekali gus memberi bayangan mungkin menjalin kerjasama.
Pada hari yang sama, syarikat e-dagang Korea Selatan, Coupang Play dan Manchester City turut berkongsi gambar tersebut dengan status yang mencetus tanda tanya peminat mengenai kerjasama yang akan dijalankan.
Tidak lama kemudian, Jisoo yang mempunyai 74.4 juta pengikut di Instagram berkongsi gambar bersama bintang Norway itu di InstaStory.
Menjengah ke ruangan komen, ramai peminat menganggap Haaland dengan wajah keanak-anakan amat sesuai mewakili K-pop dan komuniti bola sepak dalam masa yang sama.
Haaland posted on Instagram with JISOO pic.twitter.com/HHs3A9zeIF
— 꽃 (@JisooDiorMuse) July 28, 2023
Haaland yang membantu City merangkul kejuaraan treble musim lalu amat popular dalam kalangan peminat hiburan kerana pernah beberapa kali bergambar dengan penyanyi terkenal.
Begitupun pertemuan dengan Jisoo, 28, amat mengejutkan peminat yang meninggalkan pelbagai komen di Twitter.
“Jisoo peminat bola sepak bertauliah. Saya tahu dia melakukan sesuatu di sebalik tabir, saya tahu. Saya rasa dia menemu bual Haaland,” tulis pemilik akaun Twitter, SooyasSystem.
“Tiada yang lebih lucu daripada pemain bola sepak sukar mempercayai Jisoo bintang lebih besar,” kata Filmsbyjisoo.
“Hanya Jisoo sesuai untuk bekerjasama dengan kelab bola sepak. Lagi pun dia artis K-pop paling diminati pemain bola sepak,” itu komen yang ditinggalkan oleh Leaderkimjisoo. – AGENSI