PETALING JAYA: Perebutan untuk bergelar pemain No. 1 Malaysia semakin menuju ke kemuncaknya apabila beberapa pemain pilihan utama berjaya mara ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Kebangsaan 2023 esok.
Aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara hari ini menyaksikan perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao berjaya menyekat kemaraan juara kebangsaan dua kali, Lim Chi Wing dalam perlawanan yang cukup mendebarkan.
Pilihan pertama kejohanan itu berjaya menewaskan Chi Wing dengan keputusan 21-15, 21-17 selepas 38 minit.
Jun Hao bakal berdepan dengan Muhamaad Shaqeem Eiman Shahyar yang turut menewaskan rakan sepasukan, Chua Kim Seng dalam satu lagi aksi separuh akhir dengan keputusan 21-14, 22-20.
Dalam acara beregu campuran, pilihan pertama kejohanan, Yap Roy King-Valeree Siow berjaya mengatasi pasangan profesional, Wong Tien Chi-Lim Chiew Sien dengan keputusan 21-13, 21-15.
Mereka akan berhadapan dengan rakan sepasukan dalam kem kebangsaan, Choong Hon Jian-Go Pei Kee di pentas final selepas pasangan ini menewaskan Loo Bing Kun-Cheng Su Yin dengan keputusan 21-18, 21-11.
Aksi dalam perseorangan wanita pula menemukan K.Letshanaa yang berhadapan dengan Siti Nurshuhaini Azman.
Perlawanan yang diibaratkan ulangan final Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 ini akhinya memihak kepada Letshanaa dengan keputusan 9-21, 21-10, 21-15 selepas mereka bertarung selama 56 minit.
Satu lagi aksi separuh menemukan Wong Ling Ching menentang Lim Shin yang memihak kepada Ling Ching dengan keputusan 21-13, 21-18.
Selepas itu, Chiew Sien sekali lagi turun dalam acara beregu wanita bergandingan dengan Vivian Hoo menentang Go Pei Kee dan Low Yeen Yuan.
Walaupun turun sebagai pilihan pertama kejohanan, Chiew Sien dan Vivian diberikan tentangan sebelum mereka memastikan tiket ke final menjadi milik mereka dengan keputusan 21-14, 19-21, 21-16.
Menanti mereka di final esok merupakan Cheng Su Hui-Vanessa Ng yang menewaskan Ho Lo Ee-Amanda Hwang dengan keputusan 21-16, 22-20.
Persaingan dalam acara beregu lelaki juga tidak kurang sengit apabila gandingan profesional, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong dipaksa berhempas pulas sebelum memastikan kemenangan ke atas Chia Wei Jie-Liew Xun dengan keputusan 16-21, 21-13, 21-18.
Mereka akan membuat perhitungan dengan Wan Mohd Arif Wan Junaidi-Yap Roy King selepas menumpaskan Choong Hon Jian-Wong Vin Sean dengan keputusan 21-11, 18-21, 21-18.