PETALING JAYA: Polisi membuka pintu kepada pemain naturalisasi diakui menyumbang kepada peningkatan bola sepak Malaysia, terutama kenaikan mendadak dalam ranking dunia.
Begitupun menggunakan tonggak ‘import’ untuk jangka panjang bukan sesuatu yang bagus buat bola sepak Malaysia, kata bekas penjaga gol kebangsaan, Datuk Richard Scully.
Kata Richard, biarpun peminat turut mempersoalkan kehadiran terlalu ramai pemain warisan (kacukan) dalam skuad kebangsaan sejak beberapa tahun lalu, namun bagi beliau itu tidak memberi masalah.
“Secara peribadi saya fikir pemain warisan memang patut mendapat tempat dalam skuad sebab berdarah kacukan.
“Mereka beri nilai tambah kepada kita sebab berpangkalan di luar negara, latihan, permainan mereka beri dinamik untuk pasukan.
“Tetapi bagi naturalisasi, sekarang bagus, namun bukan untuk jangka masa panjang.
“Kita kena hadkan mereka kerana akan menjejaskan kewarganegaraan dan peluang pemain tempatan untuk menonjol,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, skuad Harimau Malaya naik satu anak tangga dalam ranking dunia dengan menghuni kedudukan ke-137.
Ia kedudukan terbaik pasukan negara sejak berada di tangga ke-127 pada Mei 2006, iaitu 17 tahun lalu.
Kenaikan itu didorong oleh kemenangan 4-1 ke atas Kepulauan Solomon dan 10-0 menumpaskan Papua New Guinea dalam dua aksi persahabatan antarabangsa.
Walaupun faktor Kim Pan Gon yang mengambil alih skuad bola sepak kebangsaan pada Januari lalu membantu peningkatan Malaysia, dari ranking 154 ketika dia mula melatih pasukan, namun kehadiran pemain ‘import’ atau naturalisasi serta warisan turut melonjakkan Harimau Malaya.
Pada 2022, di bawah bimbingan jurulatih kelahiran Korea Selatan itu Malaysia juga berjaya melayakkan diri ke Piala Asia secara merit selepas 42 tahun, malah sudah mencatat peratusan kemenangan yang tinggi 70 peratus dalam tempoh setahun.
Begitupun kehadiran naturalisasi cukup ramai, daripada satu – hanya mempunyai Mohamadou Sumareh, kini Malaysia sudah memiliki Paulo Josue, Endrick dos Santos, Sergio Aguero, Lee Tuck, selain Liridon Krasniqi dan Guilherme de Paula yang sempat menyarung jersi negara.
Bagaimanapun Richard percaya, biarpun skuad kebangsaan dibarisi ramai ‘import’, namun pembangunan bola sepak negara masih di landasan yang betul.
Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) berjaya melahirkan ramai bakat dan pemain berpotensi untuk diketengahkan di peringkat lebih tinggi.
“Sebenarnya, pembangunan kita (Program Pembangunan Bola Sepak Negara) masih di laluan betul kerana yang diutamakan potensi, bukan prestasi.
“Kita bina potensi agar pemain muda ada nilai di pasaran. Kita ada 8,600 pemain, dengan 850 jurulatih di seluruh negara.
“Kalau ikutkan, jurulatih tak cukup dinisbahkan dengan pemain, tapi saya yakin sistem ini akan menunjukkan kesan sebab semua bekerja dengan kudrat luar biasa membentuk kanak-kanak berumur 7 tahun hinggalah 17 tahun menjadi pemain unggul.
“Dalam sistem ini, mereka semua bekerja secara senyap dan pelatih didedahkan dengan minit permainan. Semua ilmu tentang bola sepak ini akan menyediakan mereka ke pasaran sebagai pemain tempatan berkualiti,” katanya.