PETALING JAYA: Pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan dan M.Thinaah menjadi wakil tunggal negara meneruskan kemaraan pada hari pertama Kejohanan Badminton Terbuka Korea Selatan membuka tirai di Stadium Jinnam, Yeosu, Korea Selatan pada hari ini.
Pearly dan Thinaah yang dinobatkan sebagai Pasukan Wanita Terbaik Kebangsaan 2022 dalam Anugerah Sukan Negara (ASN) yang berlangsung semalam berjaya menumpaskan pasangan Jepun, Rui Hirokami dan Yuna Kato dengan keputusan 21-17, 15-21, 21-15.
Bagaimanapun harapan untuk melihat seorang lagi beregu wanita negara mengikut jejak Pearly dan Thinaah tidak kesampaian apabila pasangan profesional, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien disekat pasangan Jepun.
Vivian dan Chiew Sien yang masih segar dengan kejayaan merangkul gelaran juara kebangsaan 2023 ditewaskan oleh pilihan kelima kejohanan, Mayu Matsumoto dan Wakana Nagahara, 10-21, 10-21.
Tiga beregu lelaki negara turut kecundang seawal pusingan apabila tewas kepada pasangan masing-masing.
Pasangan profesional, Boon Xin Yuan-Wong Tien Ci ditewaskan oleh gandingan Jepun, Keiichiro Matsui dan Yoshinori Takeuchi dengan keputusan 21-13, 21-10.
Juara Terbuka Taiwan, Man Wei Choong dan Tee Kai Wun pula berputih mata apabila tewas kepada Seo Seung Jae dan Kang Min Hyuk, 14-21, 17-21.
Sementara satu lagi profesional, Nur Azriyn Ayub dan Tan Wee Kiong akur dengan kehebatan pasangan Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan, 21-16, 15-21, 16-21.
Perseorangan wanita negara, K. Letshanaa yang bersaing dalam peringkat kelayakan turut cemerlang apabila menyingkirkan Katsiaryna Zablotskaya dengan keputusan 21-8, 21-13 dalam tempoh 29 minit untuk mara ke pusingan pertama.
Nasib berbeza dialami perseorangan lelaki, Tan Jia Jie yang beraksi di pusingan kelayakan apabila tumpas kepada pemain India, Harshit Aggarwal, 15-21, 17-21.
16 lagi wakil negara akan turun berentap esok bagi mencari tiket untuk mara ke pusingan kedua Terbuka Korea 2023.