PETALING JAYA: Beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M.Thinaah melepasi pusingan pertama badminton Terbuka Jepun di Toko hari ini selepas berhempas pulas mengetepikan pasangan China, Liu Sheng Shu-Tan Ning 21-11, 9-21, 21-19.
Menghuni ranking ke-11 dunia, Pearly-Thinaah berpotensi mengulangi pertemuan dengan beregu No. dunia, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dari China yang menyingkirkan mereka pada pusingan kedua Terbuka Korea minggu lalu.
Qing Chen-Yi Fan hanya akan memulakan aksi esok dengan menentang pasangan Kanada, Catherine Choi-Josephine Wu.
Cabaran Malaysia di Gimnasium Yoyogi turut diteruskan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang menumpaskan pasangan Belanda, Robin Tabeling-Selena Piek 21-15, 21-18.
Beregu ranking ke-14 dunia itu bakal berdepan cabaran getir pasangan No. 1 dunia, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong, dalam pusingan kedua nanti.
Turut meneruskan kemaraan ke pusingan kedua, dua pasangan profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Chan Peng Soon-Cheah Yee See.
Turun sebagai pilihan keenam, Yew Sin-Ee Yi menempah pertemuan dengan pasangan Taiwan, Lee Yang-Wang Chi-Lin esok selepas menumpaskan gandingan Perancis, Lucas Corvee-Ronan Labar 21-17, 21-11.
Peng Soon-Yee See yang menyingkirkan pilihan kelapan, Thom Gicquel-Delphine Delrue 21-18, 21-18 akan berdepan cabaran getir pasangan Thailand, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran. – UTUSAN ONLINE