PETALING JAYA: Pasukan badminton Allianz Malaysia Berhad telah menjalani sesi latihan terakhir di Arena Sukan Sentosa baru-baru ini sebagai persediaan menghadapi kejohanan Badminton Terbuka Media Allianz 2023 yang akan berlangsung esok.
Kejohanan yang memasuki edisi ketiga itu akan menampilkan 10 pasukan termasuk dua dari Allianz Malaysia, berbanding edisi tahun lalu yang menampilkan tujuh pasukan.
Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Sean Wang berkata, Bernama dan Malaysiakini adalah pasukan baharu yang akan memeriahkan kejohanan kali ini, sekali gus akan bersaing dengan agensi media lain seperti The Star, New Straits Times, China Press, Kosmo, Astro dan Sinar Harian.
“Kejohanan media tahunan ini adalah sesuatu yang saya nantikan kerana badminton adalah sukan yang sangat saya gemari. Ia juga memberi kami peluang untuk melibatkan diri dengan rakan media di luar waktu kerja.
“Seperti yang selalu saya katakan, bekerja keras, bermain bersungguh-sungguh dan kami menantikan kejohanan yang lebih besar dan lebih baik tahun ini,” kata Sean Wang yang akan turun selaku ketua pasukan Allianz Malaysia.-UTUSAN ONLINE.