MANCHESTER: Manchester United hari ini mengumumkan menandatangani Andre Onana dari Inter Milan menerusi perjanjian bernilai 47 juta pound (RM275 juta).
Rundingan telah berlangsung selama beberapa minggu sebelum persetujuan dicapai minggu lalu, dan turut melibatkan bayaran tambahan 5 juta pound (RM29.24 juta).
Onana menandatangani kontrak lima tahun di Old Trafford, termasuk pilihan sambungan 12 bulan lagi dan akan menggantikan David de Gea sebagai penjaga gol utama gergasi Liga Perdana Inggeris itu.
Pemain Cameroon berusia 27 tahun itu pernah bekerja dengan pengurus United, Erik ten Hag ketika di Ajax, dan turut dibawa dalam skuad ke Amerika Syarikat (AS) untuk jelajah pramusim.
That's his name 👇@AndreyOnana is United! 🔴#MUFC
— Manchester United (@ManUtd) July 20, 2023
“Dapat menyertai Manchester United adalah satu penghormatan luar biasa dan saya telah bekerja keras sepanjang hidup untuk sampai ke saat ini, mengatasi banyak halangan sepanjang perjalanan.
“Berjalan keluar di Old Trafford untuk mempertahankan pintu gol kami dan menyumbang kepada pasukan akan menjadi satu lagi pengalaman yang menakjubkan.
“Ini adalah permulaan perjalanan baharu bagi saya, dengan rakan sepasukan baharu, dan cita-cita baharu untuk diperjuangkan.
“Manchester United mempunyai sejarah panjang penjaga gol yang luar biasa, dan saya akan memberikan segala-galanya untuk mencipta legasi saya sendiri pada tahun-tahun akan datang.
“Saya teruja dengan peluang untuk bekerja semula dengan Erik ten Hag, dan saya tidak sabar untuk memainkan peranan saya dalam kejayaan yang saya tahu dia berazam untuk mencapainya di kelab bola sepak yang hebat ini,” kata Onana yang akan nemskai jersi No. 24. – AGENSI