PETALING JAYA: Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei terus mempamer prestasi cemerlang sejak kembali bergandingan apabila melangkah ke suku akhir beregu lelaki badminton Terbuka Korea malam tadi.
Begitupun langkah sumbang mengiringi juara dunia yang baru dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila tersingkir awal.
Nur Izzuddin-Sze Fei yang masih segar dengan kejayaan menjuarai Terbuka Amerika Syarikat (AS) menyingkirkan rakan senegara yang juga pilihan keenam, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 25-23, 21-15 pada pusingan kedua di Stadium Jinnam, Yeosu.
Cabaran getir bakal menanti Izzuddin-Sze Fei apabila berdepan beregu No. 1 dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto di suku akhir.
Fajar-Rian mara selepas menundukkan gandingan Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han 21-19, 21-15.
Sementara itu, Aaron-Wooi Yik terus mempamer aksi meresahkan apabila kecundang 21-19, 18-21, 19-21 kepada pasangan bukan pilihan dari Jepun, Keiichiro Matsui-Yoshinori Takeuchi 21-19, 18-21, 19-21.
Turut tersingkir awal perseorangan wanita negara yang juga juara kebangsaan, K. Letshanaa yang gagal menandingi bekas pemain No. 1 dunia, Tai Tzu Ying dari Taiwan apabila tewas 15-21, 5-21. – UTUSAN ONLINE