PETALING JAYA: Pelumba harapan Terengganu Polygon Cycling (TSG), Nur Aiman mohd Zariff mencipta kejutan apabila mengungguli acara lepas beramai-ramai kategori lelaki elit di Kejohanan Berbasikal Lebuhraya Kebangsaan 2023 yang melabuhkan tirainya hari ini.
Perlumbaan yang bermula dan berakhir di Rumah Melaka, Bukit Katil sejauh 182 kilometer (km) itu menyaksikan Aiman diasak hebat oleh pelumba Johor, Nur Aiman Rosli sebelum menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat.
Pelumba kelahiran Terengganu itu berjaya melakar masa 4 jam 27 minit 49 saat (s).
Tempat ketiga milik rakan sepasukan, Irwandie Lakasak.
“Syukur Alhamdulillah saya dapat memenangi perlumbaan pada hari ini (semalam). Ini sememangnya kejayaan membanggakan kerana buat kali pertama saya dapat memenanginya, macam tahun-tahun sebelum ini saya tak berapa yakin untuk menang, tetapi tahun ini keyakinan saya bertambah berdasarkan persiapan dilakukan.
“Bukanlah terlampau yakin, tetapi saya memang ada rasa untuk menang. Berdasarkan prestasi saya pada hari ini (semalam), memang saya berpuas hati dan terima kasih juga kepada pasukan yang bekerja keras membantu saya menang,” jelas Aiman.
Hari terakhir saingan juga turut mempertandingkan acara lepas beramai-ramai kategori Master A yang diungguli bekas juara kebangsaan, Anuar Manan.
Anuar yang mewakili pasukan Terengganu cemerlang apabila melakar masa 1 jam 51:53 s untuk menambah koleksi kejuaraan kebangsaannya yang keempat selepas memenanginya pada 2007, 2008 dan 2009.
Terengganu terus cemerlang apabila membolot satu lagi gelaran juara dalam kategori Master B menerusi Syed Mohd Husaini Syed Mazlan yang juga merupakan ketua jurulatih pasukan Terengganu apabila melakar masa 1 jam 51:53 s.