Nur Aiman, Nur Adibah terlalu sukar digugat

Nur Aiman, Nur Adibah terlalu sukar digugat

NUR Aiman Rosli (kanan) Siti Nur Adibah Akma Fuad mempertahankan pingat emas ujian masa individu pada Kejohanan Berbasikal Lebuhraya Kebangsaan di Melaka hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pelumba Johor, Muhammad Nur Aiman Rosli dan Siti Nur Adibah Akma Fuad terlalu sukar digugat apabila mempertahankan gelaran ujian masa individu (ITT) Kejohanan Berbasikal Lebuhraya Kebangsaan buat kali keempat berturut-turut hari ini.

Nur Aiman mencatat catatan masa keseluruhan 56 minit 24.093 saat (s) pada perlumbaan sejauh 45 kilometer (km) melibatkan tiga pusingan.

Dia menewaskan dua pencabar rapat dari Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Nur Aiman Zariff (57:03.876s) dan Nur Amirull Fakhruddin Mazuki (1:00:36.481s) dalam pertembungan menarik membabitkan tiga pelumba kebangsaan berkenaan.

Nur Adibah pula mencatat masa 46:30.652s untuk jarak 30km, meninggalkan pelumba Kuala Lumpur Cycling Team, Zhen Yi Yeong (47:02.944s) di tempat kedua dan Ci Hui Nyo (47:34.209s) dari Perak ketiga.

Juara Sukan Malaysia (Sukma) 2022, Nur Adibah berkata, meskipun merangkul kejuaraan dalam acara kegemarannya, dia berdepan kesukaran mengimbangi antara latihan serta ujian semester selama dua minggu sebelum pertandingan bermula.

Pelajar diploma jurusan Pengurusan Sukan dan Rekreasi UiTM itu turut menegaskan, dia tidak meletak sebarang sasaran dalam kejohanan tahun ini kerana menyedari keadaan dirinya yang tidak berada dalam persediaan penuh untuk berlumba.

NUR Adibah (tengah) bersama pemenang pingat perak, Zhen Yi Yeong (kiri) dan Ci Hui Nyo yang meraih gangsa.

“Perlumbaan berjalan lancar tetapi disebabkan saya masih belajar dan pada masa sama perlu berkayuh, kesibukan untuk berlatih dan menghadiri kelas agak memenatkan. Namun bagi saya, inilah harga sebuah kemenangan.

“Walaupun saya tak sasarkan juara kali ini, tetapi bila menang, saya rasa jadi motivasi untuk saya tingkatkan pelajaran sebab saya tahu, kalau saya kalah, itu pun akan jadi tekanan sebab pernah menang 3 kali sebelum ini.

“Ada hari yang mana kelas saya tamat pukul 11 malam tetapi saya perlu berlatih keesokannya seawal 7 pagi. Kesibukan sepanjang seminggu dua ini akhirnya berbaloi dan saya sangat gembira dengan kemenangan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

NUR Aiman (tengah) memenangi pingat emas, manakala Nur Aiman Zariff (kiri) meraih perak dan Nur Amirull Fakhruddin Mazuki membawa pulang gangsa.

Sementara itu, Nur Aiman pula mengakui, perlumbaan kali ini amat mencabar selepas pasukannya Team Sapura Cycling (TSC) dibubarkan, namun dia kekal fokus untuk memenangi saingan buat kali keempat kali berturut-turut.

Katanya, dugaan yang dihadapi termasuk ketiadaan pasukan TSC dalam kejohanan kali ini tidak mematahkan semangatnya untuk mempertahankan kejuaraan tersebut.

“Alhamdulillah… saya dapat kekalkan kejuaraan kali keempat berturut-turut. Kali ini saya lebih bersemangat memburu kejuaraan selepas macam-macam dugaan saya hadapi termasuk ketiadaan pasukan (TSC) tahun ini.

“Sepanjang perlumbaan, saya hanya fokus untuk menampilkan kayuhan terbaik. Alhamdulillah kerana saya dapat mengekalkan rentak kayuhan dalam ketiga-tiga pusingan dengan purata kelajuan 47.871km/j,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya