MUKADIMAH
BINTANG skuasy negara, Noor Ainaa Amani Ampandi bukan sahaja mempunyai karisma menarik di gelanggang, malah memiliki bakat membaca berita serta menjadi pengacara.
Pemain ranking ke-63 dunia itu juga terkenal sebagai seorang ‘ulat buku’.
Ainaa yang memenangi kejuaraan di Hong Kong dan India tahun ini memiliki puluhan koleksi novel sejak kecil, dan sehingga kini masih minat membaca walaupun sibuk dengan jadual padat.
Bersama wartawan, ADAM ZAMRI, Tanya Jer…menyingkap sisi peribadi gadis ceria berusia 21 tahun ini.
Jika tidak bermain skuasy, apa yang anda lakukan di waktu lapang?
Saya suka membaca buku, terutama novel.
Buku jenis apa yang menjadi bahan bacaan anda?
Saya tidak suka fiksyen, lebih kepada genre romantik komedi, apa yang remaja masa kini suka.
Destinasi percuntian impian awak?
Saya idam untuk melawat Santorini, Greece kerana pemandangannya yang indah.
Medium bacaan anda pula?
Semua okay, tidak kisah buku fizikal atau menerusi Ipad, saya akan tetap membaca jika ada kelapangan.
Bilakah waktu yang sesuai untuk anda membaca novel-novel ini?
Kebiasaannya saya akan membaca pada waktu malam, sebelum tidur misalnya kerana pada waktu siang saya amat sibuk menghabiskan masa berlatih di dalam gelanggang.
Berapa lama anda habiskan untuk membaca?
Bergantung, kalau novel yang bagus mungkin saya akan terus melayannya sehinga dua hingga tiga jam.
Bagaimana minat membaca ini dipupuk?
Minat ini hadir secara sendiri sejak waktu kecil lagi, kerana saya memang membeli novel sejak dari kecil lagi.
Pernah ada perpustakaan kecil di rumah?
Tidak ada, dahulu memang saya ada banyak buku, tetapi apabila semakin besar, ibu saya kerap menghadiahkan buku saya kepada orang lain.
Selain membaca, apa lagi yang menarik tentang diri anda?
Saya suka bercakap di khalayak ramai, saya pernah membaca berita di RTM seketika, menjadi pengacara majlis.
Makanan kegemaran anda?
Sudah semestinya nasi lemak.
Prinsip hidup yang menjadi pegangan selama ini
Setiap hari merupakan peluang saya untuk menjadi lebih baik.