PETALING JAYA: Ketua Jurulatih baharu skuad Ragbi Lelaki 7 Sebelah (7s) Kebangsaan, Nik Safuan Ismade Nik Man yakin dapat membentuk pasukan terbaik biarpun kesuntukan masa untuk melatih pemain.
Tugas utama Nik Safuan kali ini ialah mempersiapkan pasukan ke Sukan Asia Hangzhou, September depan dan ini bermakna jurulatih itu mempunyai kurang dua bulan untuk melatih skuad 7s kebangsaan.
Nik Safuan berkata, dia pada mulanya agak keberatan untuk menerima tawaran Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), namun menerima tugasan itu memandangkan ia tanggungjawab besar yang perlu digalas untuk negara.
“Memang tugas agak berat, namun saya fikir kita masih ada kesempatan bina pasukan. Setakat ini, saya akan kekalkan 18 pemain sedia ada dan jika dibenarkan, kemungkinan akan ada pertukaran pemain pada pertengahan Ogos.
“Sekarang, saya lihat pasukan negara kekurangan pengalaman dalam perlawanan antarabangsa dan sebagai persiapan, saya akan mengatur beberapa perlawanan persahabatan untuk menilai prestasi pemain sedia ada.
“Kita akan rangka sesi latihan untuk tingkatkan persembahan dan saya juga telah jumpa semua pemain.
“Suasana dalam skuad kebangsaan ketika ini sangat baik dan pemain juga menyambut baik pelantikan saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengenai sasaran empat terbaik di Sukan Asia, bekas pemain kebangsaan berusia 42 tahun itu percaya, ia mampu dipenuhi jika persiapan terbaik dapat dilakukan.
Semalam KRM mengumumkan pelantikan Nik Safuan sebagai ketua jurulatih Bunga Raya 7s selepas merehatkan Ahmad Fadzlee Ahmad Idriss.