PETALING JAYA: Malaysia memulakan kempen dengan langkah kanan selepas menundukkan New Zealand 3-0 dalam aksi sulung Kumpulan B pada Kejohanan Skuasy Berpasukan Remaja Perempuan Dunia di Melbourne, Australia, semalam.
Aira Azman yang baru sahaja dinobatkan selaku naib juara dalam acara individu Skuasy Remaja Dunia, kelmarin tidak berdepan masalah untuk mengalahkan Ella Lash 11-5, 11-5, 11-4 dalam masa 18 minit.
K. Sehveetrraa yang diletakkan sebagai pemain perseorangan kedua negara juga tidak menghampakan apabila dia mudah menewaskan Sophie Hodges 11-6, 11-9, 11-3 dalam masa 20 minit.
Untuk aksi perseorangan ketiga, U. Thanussa melengkapkan kemenangan 3-0 Malaysia ke atas New Zealand apabila mengetepikan cabaran Anne Leakey 11-8, 11-4, 11-1 hanya dalam masa 17 minit.
Skuad negara yang diletakkan sebagai pilihan kedua di belakang Mesir, diundi dalam Kumpulan B bersama-sama New Zealand dan tuan rumah, Australia.
Jurulatih skuad kebangsaan, Andrew Cross ketika dihubungi berkata, anak-anak buahnya telah bermain baik, semalam.
“Aira pula dapat kembali ke gelanggang dan bermula sekali lagi. Perlawanan, hari ini (semalam) berjalan dengan baik,” katanya.
Cross memberitahu, dalam perlawanan berikut, Malaysia bakal berdepan Australia dan sudah pasti sebagai tuan rumah mereka tentu menjanjikan tentangan sengit.-UTUSAN ONLINE