JOHOR BAHRU: Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari mengingatkan pemainnya agar tidak memandang rendah Negeri Sembilan FC ketika menerima kunjungan pasukan itu dalam aksi Liga Super, malam ini.
Biarpun Harimau Selatan membelasah skuad kendalian K. Devan dengan 7-0 di Paroi dalam pertemuan sebelum ini, namun Solari menegaskan, itu bukan ukuran sebenar kekuatan lawan.
Walaupun prestasi skuad Hobin Jang Hobin tidak menentu ketika ini, ia tidak bermakna mereka tidak mampu mencipta kejutan dan lebih bersedia menjelang pertemuan ini.
“Ini perlawanan yang berbeza dengan sebelunya. Kemenangan belum terjamin dalam genggaman dan apa sahaja boleh berlaku.
“Adalah penting bagi kami mendapat gol pembukaan awal, ini membolehkan pasukan bermain secara ‘terbuka’.
“Kami menjangkakan Negeri Sembilan tampil dengan corak lebih ampuh dan berbeza daripada sebelum ini,” katanya.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/2023/06/18b82ea0-da64-4fcc-8d89-80080022d78c-600x359.jpg)
Selepas mengharungi 15 perlawanan, JDT semakin gah di puncak Liga Super dengan 45 mata, manakala skuad Jang berada di tangga kesembilan dengan 19 mata hasil empat kemenangan, seri tujuh kali dan tewas tujuh kali.
Dalam pada itu, Solari memberitahu, skuad Harimau Selatan telah membuat persiapan rapi bagi meneruskan momentum kemenangan dan mengekalkan rekod tanpa kalah.
Pasukan telah memperkemaskan setiap posisi dan akan membariskan kesebelasan utama yang terbaik bagi memastikan tiga mata berada dalam genggaman, sekali gus utuh di persada liga.
“Kami tidak rela kehilangan mata dan pemain perlu bersedia dan menunjukkan komitmen tinggi untuk memenangi perlawanan ini,” katanya.
JDT yang tidak kalah dalam semua 15 perlawanan musim ini mencatat tiga kemenangan besar dalam aksi terakhir.
Bermula dengan menumpaskasn Penang FC 5-0, diikuti membedil Selangor FC 4-0 pada separuh akhir Piala FA dan terbaharu membelasah Kuala Lumpur City 6-1, minggu lalu.