PETALING JAYA: Selepas 38 tahun menunggu, kejuaraan Skuasy Berpasukan Remaja Dunia masih tidak mampu digapai oleh Malaysia apabila menutup kempen selaku naib juara di Melbourne, sebentar tadi.
Mesir sekali lagi menjadi pemusnah apabila menumpaskan pasukan negara 2-0 , sekali gus memenangi gelaran buat kali kelapan berturut-turut dan yang ke-10 keseluruhan.
K. Sehveetrraa yang menggalas tugas sebagai perseorangan kedua kalah kepada Zeina Kareem Zeina El-Din 3-11, 5-11, 11-2, 0-11 dalam masa 27 minit.
Ketinggalan 0-1, Aira Azman yang diletakkan selaku perseorangan pertama turut gagal menyekat bintang muda Mesir, Amina Orfi apabila kecundang straight set 7-11, 8-11, 2-11 dalam masa 34 minit.
Lima kali mencuba di pentas akhir iaitu pada 2001, 2007, 2017, 2019 dan 2023, namun kesemua usaha tersebut masih menemui jalan buntu.
Kekalahan buat kali ketiga berturut-turut Malaysia kepada Mesir pada final menyaksikan penantian selama 38 tahun untuk melihat skuad remaja negara merangkul gelaran dunia masih belum dapat ditamatkan. – UTUSAN ONLINE