SEPANG: Pelari pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi memasang impian besar menjelang Kejohanan Olahraga Asia yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand bermula esok dengan membawa dua misi iaitu menang pingat dan mengejar catatan masa 10.00 saat (s) bagi layak secara automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024 untuk acara pecut 100 meter (m).
Azeem yang merupakan pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.09s yang dilakar di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 tahun di Cali, Colombia tahun lalu optimis dia mampu mencapai misi berkenaan berdasarkan perkembangannya berkelana selama tujuh bulan di Universiti Auburn, Amerika Syarikat (AS).
Berdasarkan badan induk Olahraga Dunia, kelayakan ke temasya sukan terbesar dunia itu telah pun bermula sejak 1 Julai lalu dan akan tamat pada 30 Jun 2024. Dalam tempoh itu Azeem perlu mencapai syarat had kelayakan masa yang ditetapkan iaitu 10.00s bagi mendapat slot automatik ke Sukan Olimpik Paris tahun hadapan.
Atlet berusia 19 tahun itu turut menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan yang diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris Shah (UPSI) sejak dua minggu untuk berlatih bersama-sama pelari lain seperti Khairul Hafiz Jantan, Jonathan Nyepa serta Muhammad Thaqif Hisham untuk membentuk kuartet 4x100m.
“Sebenarnya kami di sini untuk layak secara merit untuk ke kejohanan dunia dan bila saya dapat capai di bawah 10.20s di Bangkok, ia akan menjadi lebih baik dan secara automatik layak ke Paris 2024.
“Itu hanya perbincangan dengan jurulatih saya dan saya betul-betul mengambil berat berkenaan perkara itu dan kami hanya mahu kekal momentum serta cuba kekalkan masa di bawah 10.20s,” jelas Azeem yang ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2 sebelum berlepas ke Bangkok semalam.
Di Bangkok, Azeem akan kembali bergandingan dengan jurulatihnya di Universiti Auburn, Ken Harnden bagi membantunya mencapai misi berkenaan.
“Sebab utama jurulatih saya datang ke sini adalah ini merupakan kejohanan pertama saya mewakili negara jadi memang dia selayaknya berada di sini untuk bersama saya memandangkan dia telah membantu saya sepanjang tempoh tujuh bulan ini.
“Selain itu, mungkin dengan kehadiran dia, dia boleh melihat bagaimana pasukan Malaysia bertanding di peringkat antarabangsa dan mungkin boleh membuka mata dan peluang kepada atlet lain juga,” tambahnya.-UTUSAN