Misbun tidak rela pisang berbuah dua kali

Misbun tidak rela pisang berbuah dua kali

MISBUN SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih perseorangan remaja negara, Datuk Misbun Sidek enggan kegagalan di Santander, Sepanyol tahun lalu membayanginya apabila sekali lagi membawa skuad muda negara mengharungi Kejohanan Badminton Remaja Asia yang akan berlangsung di Yogyakarta, Indonesia dari 7 hingga 16 Julai depan.

Biarpun Persatuan Badminton Malaysia (BAM) belum menetapkan sasaran secara rasmi, namun presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berharap agar Misbun mampu memacu Malaysia sekurang-kurangnya ke pentas final dalam mana-mana acara.

Tahun lalu, Misbun yang mempunyai reputasi membentuk tiga pemain No. 1 dunia sebelum ini iaitu Roslin Hashim, Wong Choong Hann dan Datuk Lee Chong Wei menerima tamparan hebat apabila kempen Malaysia pada Kejohanan Remaja Dunia berakhir dengan kegagalan.

Skuad negara menghabiskan saingan berpasukan campuran di kedudukan kesembilan ke­seluruhan, sementara semua pemain dalam saingan individu tersingkir awal.

“Saya setuju apa yang Presiden katakan, sebab kita sudah melakukan persiapan berdasarkan apa yang kita miliki ketika ini. Pertama kita perlu tahu kedudukan kita dengan negara-negara gergasi lain seperti China dan Indonesia bahawa mereka mempunyai pemain yang sudah bergelar juara.

“Jika Presiden mahukan kedudukan itu, kita terpaksa akur itu adalah cabaran untuk kita, perkara ini pernah berlaku ketika Kejohanan Dunia.

“Saya akui tahun lalu adalah kesilapan saya, saya terperangkap di situ kerana tidak menjangkakan kehebatan pemain-pemain lawan, dan saya terima, tidak mengapa.

“Jadi untuk Asia, saya sudah boleh mengagak pemain-pemain lawan yang akan ada, jadi saya mempersiapkan pemain saya dengan keadaan sewajarnya.

“Mengenai sasaran, ia adalah sasaran yang realistik mengambil kira BAM merupakan salah satu persatuan yang terbaik serta mempunyai salah satu akademi badminton terbaik di dunia,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Malaysia mempertaruhkan 16 orang pemain untuk edisi kali ini dan akan berdepan Hong Kong, India serta Bangladesh dalam Kumpulan C bagi saingan berpasukan campuran.

Dalam masa sama, Misbun juga sudah bersedia untuk menerima sebarang tindakan daripada pengurusan tertinggi BAM seandainya kempen kali ini tidak mendapat hasil diinginkan.

“Saya akan terima apa jua risiko yang bakal saya hadapi berlandaskan pemain-pemain sedia ada,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya