PETALING JAYA: Nasib jurulatih remaja negara, Datuk Misbun Sidek masih samar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) belum mencapai kata putus biarpun bersidang hampir enam jam semalam.
Mesyuarat tersebut yang dipengerusikan Timbalan Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam memanggil semua jurulatih dan pemain perseorangan remaja bagi mencari punca penurunan mendadak prestasi Malaysia khususnya kegagalan dalam Kejohanan Remaja Asia di Jogjakarta, awal bulan ini.
Misbun yang ditemui media sejurus mesyuarat tersebut berakhir mengakui, akur dengan segala keputusan yang bakal dibuat BAM, termasuklah andai khidmatnya tidak diperlukan lagi.
Beliau kembali ke BAM selepas enam tahun pada 2017, dan sejak itu telah bertukar-tukar posisi bermula dari ketua jurulatih perseorangan lelaki kebangsaan, kemudian Pengarah Kejurulatihan Remaja sebelum kini menjawat jawatan jurulatih perseorangan remaja negara.
“Sebenarnya saya sudah masak dengan benda-benda macam ni, sebab bila kamu ada nama dugaannya besar. Jadi ini baik buruk yang yang seorang itu perlu terima, ia boleh berlaku kepada sesiapa pun.
“Saya tak boleh kata apa-apa ketika ini (perancangan jika dipecat).
“Yang penting badminton darah daging saya, dari dahulu sampai sekarang. Kalau tidak saya takkan berkecimpung dalam bidang ini. Dan ini adalah perkara yang sangat besar.
“Jadi apa yang saya telah lalui sebagai seorang pemain badminton, saya gunakan (pengalaman dan ilmu) untuk membantu orang lain.
“Selepas tu saya jadi penasihat, yang penting apa yang anda ada, anda pulangkan balik. Ini yang saya buat, saya hanya memberikan apa yang saya ada,” jelas Misbun.
Di pihak BAM ketika ini, mereka akan merombak keseluruhan program remaja memandangkan keputusan sedia ada tidak memberangsangkan.
Ini secara tidak langsung memberi bayangan akan wujud perubahan dari segi tenaga pengajar sedia ada, dan besar kemungkinan akan ada jurulatih dipecat ataupun pelantikan baru untuk mengembalikan semula kegemilangan skuad badminton remaja.
“Keutamaannya ketika ini kami sedang melihat program sedia ada.
“Kami sedang menelitinya dengan baik, kami memerlukan program yang baru atau kombinasi dengan program sebelum ini jika ia boleh dilakukan.
“Kami mahu ada sebuah program yang memberikan manfaat kepada semua pemain kami agar mereka boleh beraksi dengan baik,” jelas Subramaniam.
Semua pemain negara tersingkir awal pada Kejohanan Remaja Asia di Indonesia, awal bulan ini.