Messi tarik ramai bintang ke Miami

Messi tarik ramai bintang ke Miami

LUIS Suarez mahu mengikut jejak Lionel Messi (kiri) dan Sergio Busquets beraksi bersama kelab MLS Amerika Syarikat, Inter Miami
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Kehadiran Lionel Messi ke Inter Miami ibarat ‘gula’ kerana ramai lagi bintang kini dalam perjalanan untuk menyertai kelab Liga Bola Sepak Utama (MLS), Amerika Syarikat (AS) itu.

Kelab yang dimiliki bersama legenda bola sepak Manchester United, David Beckham itu di landasan menjadi salah satu pasukan paling menarik di luar Eropah dan bersedia menambah kualiti barisan pemain.

Selepas mendapat khidmat kapten juara Piala Dunia Argentina, Messi dan seorang lagi legenda Barcelona, Sergio Busquets, Miami bakal menjadi destinasi Luis Suarez, Jordi Alba, Jesse Lingard serta Sergio Ramos.

Presiden Miami, Jorge Mas mengesahkan kelab sedang ­berunding untuk membawa masuk bekas penyerang Liverpool dan Barcelona, Suarez serta bek kiri berusia 34 tahun, Alba.

Ketika ramai bintang mengikut jejak Cristiano Ronaldo yang memilih untuk berhijrah ke Arab Saudi, Messi menolak tawaran lumayan Al-Hilal untuk ‘terbang’ ke AS.

JORDI ALBA

Alba boleh dibawa masuk secara percuma selepas me­ninggalkan Barcelona, manakala Suarez, 36, kini bermain untuk kelab Brazil, Gremio dan dilaporkan mahu menyertai ­bekas rakan sepasukannya.

“Dua atau tiga lagi pemain bintang akan datang (ke Miami).

Kami sedang berunding de­ngan Jordi Alba, manakala Luis ­Suarez mempunyai kontrak dan klausa pelepasan untuk ditebus,” kata Mas kepada akhbar Perancis, El Pais.

Bekas pemain sayap United, Lingard, 30, juga teruja untuk menyertai legenda Barcelona di Miami selepas tamat kontrak bersama Nottingham Forest, malah baru-baru ini dia dilihat berlatih di kemudahan milik kelab tersebut.

Busquets pula sudah me­nyatakan persetujuan mengikat kontrak bersama Miami selepas 16 tahun menyarung jersi Barca dan musuh ketatnya di La Liga, Ramos yang tamat kontrak bersama Paris Saint-Germain turut berada dalam senarai. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya