PETALING JAYA: Pemain golf amatur, Marcus Lim mencipta kejutan apabila mengungguli Kejohanan Golf Piala Supra Jelajah Toyota 2023 yang berlangsung di The Mines Resort & Golf Club hari ini.
Marcus yang hanya berusia 21 tahun konsisten sepanjang tiga hari kejohanan untuk mengejutkan beberapa nama besar tempatan antaranya, Danny Chia, Gavin Kyle Green, Nicholas Fung serta Ben Leong.
Bagaimanapun kejayaannya tidak datang bergolek apabila diberikan tentangan sengit oleh Ervin Chang sehingga menyaksikan mereka terikat kedudukan apabila mecatatkan 206 pukulan, tujuh di bawah par.
Justeru perlawanan terpaksa ditentukan dalam permainan penentuan yang diadakan di lubang ke 18 yang menyaksikan Marcus unggul untuk melakukan par sementara Ervin berputih mata apabila mencatakan ‘double bogey’.
Biarpun bergelar juara, Marcus terpaksa akur untuk sekadar membawa pulang trofi, kerana statusnya sebagai pemain amatur, manakala Ervin yang muncul naib juara meraih RM 31,500 untuk kejohanan ini.
“Sejujurnya saya tidak beraksi begitu baik pada hari ini, dan saya hanya terus bertahan sepanjang hari untuk melakukan beberapa pukulan ‘birdie’ khususnya di lubang kesembilan, tetapi saya gembira kerana dapat beraksi di kejohanan ini kerana banyak pemain hebat beraksi di sini.
“Saya langsung tidak menyangka saya akan memenanginya. Memasuki lubang terakhir, saya akui agak gementar khususnya ketika membuat pukulan, namun saya amat gembira apabila pukulan saya berjaya memastikan bola masuk ke lubang,” jelas Marcus yang ditemui media selepas perlawanan.
Dalam aksi wanita pula, Aretha Pan dinobatkan sebagai juara apabila mencatatkan 210 pukulan, tiga di bawah par untuk mengatasi pencabar terdekat, Geraldine Wong.
Sebagai juara, Aretha membawa pulang trofi dan wang kemenangan sebanyak RM 10,000.