Malaysia terus 'dilibas' Thailand

Malaysia terus ‘dilibas’ Thailand

MALAYSIA terpaksa akur kalah lagi kepada Thailand dalam Piala Raja Thai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia masih tidak bertemu formula untuk menumpaskan musuh tradisi, Thailand apabila tumpas 0-2 dalam perlawanan akhir antara regu Kejohanan Sepak Takraw Piala Raja Thai 2023 di Bangkok, hari ini.

Skuad kebangsaan yang diperkuatkan Muhammad Syahir Mohd. Rosdi, Khairol Zaman Hamir Akhbar dan Amirul Zazwan Amir tewas straight set 20-22, 17-21.

Malaysia yang dibimbing oleh ketua jurulatih, Ahmad Jais Baharun hampir mengejutkan Thailand pada set pertama apabila mendahului 20-18.
Begitupun kesilapan Syahir yang gagal melibas bola dengan kemas sehingga terkandas di jaring dua kali berturut-turut membuka ruang kepada tuan rumah mengikat kedudukan 20-20.

Kesempatan itu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh tuan rumah yang menurunkan Pornthep Tinbangbon, Varayut Jantarasena dan Pattrapong Yupadee untuk menutup permainan 20-22.

Perlawanan yang disambung dalam set kedua, menyaksikan pasukan negara berusaha bangkit apabila berjaya mengikat Thailand 11-11.

Bagaimanapun, pasukan negara tetangga itu memiliki kesempurnaan dalam permainan mereka apabila jarang sekali melakukan kesilapan, sekali gus, menafikan peluang Malaysia untuk mencipta kejutan.

Sekalipun kecundang, anak-anak buah Ahmad Jais ada menunjukkan peningkatan berbanding tahun-tahun sebelum ini dan mereka secara perlahan-lahan berusaha merapatkan jurang prestasi antara kedua-dua pasukan.

Malaysia bakal menjadi tuan rumah Piala Dunia Sepak Takraw pada tahun depan dan masih ada masa untuk skuad kebangsaan mencari formula terbaik bagi menundukkan Thailand di hadapan penyokong sendiri nanti.

Untuk aksi Piala Raja Thai, perjuangan Malaysia masih belum berakhir kerana masih ada acara berpasukan yang akan bermula, esok. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya