PETALING JAYA: Skuad sepak takraw negara memulakan aksi pembukaan Kejohanan Sepak Takraw Piala Raja Thai 2023 yang berlangsung di Korat, Thailand dengan langkah kanan apabila menumbangkan Vietnam dengan keputusan 2-0 dalam aksi kumpulan D hari ini.
Regu Malaysia yang dibarisi Muhammad Syahir Rosdi sebagai tekong bergandingan dengan perejam Khairol Zaman Hamir Akbar serta apit kiri, Amirul Zazwan Amir berjaya menampilkan aksi bertenaga untuk menewaskan Vietnam dengan keputusan 21-19, 21-16.
Malaysia akan menentang China esok untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir.
Dalam masa yang sama, regu wanita negara juga turut memulakan kempen edisi kali ini dengan kemenangan apabila menjinakkan Jepun dengan keputusan 2-0 dalam perlawanan Kumpulan B.
Malaysia yang dibarisi Nur Natasya Amira Fazil, Kamisah Khamis serta Razmah Anam diberikan tentangan sengit pada set pertama, namun pengalaman menjadi pemisah untuk mereka mencatatkan kemenangan mutlak 22-20, 21-14.
Tugas lebih mencabar buat skuad wanita apabila mereka akan turun berdepan Korea Selatan pada perlawanan esok.