PETALING JAYA: Bantuan kewangan, perkhidmatan sukan, kemudahan latihan dan persiapan antara isu yang dibangkitkan persatuan-persatuan sukan sebagai punca kegagalan kontinjen Malaysia dalam Sukan SEA di Kemboja Mei lalu.
Selepas mengadakan mesyuarat ‘post-mortem’ prestasi keseluruhan atlet negara pada temasya 12-23 Mei itu, kebanyakan persatuan meminta Majlis Sukan Negara (MSN) memberi panduan serta bantuan untuk membolehkan mereka melakukan persiapan awal bagi menghadapi temasya di Thailand pada 2025.
Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin berkata, program baharu itu bakal dibentangkan pada September depan selepas mengambil maklum pandangan 38 persatuan dalam Sesi Post Mortem Prestasi Kontinjen Malaysia di Sukan SEA 2023 di Kemboja, dua hari lalu.
Pada temasya di Kemboja dua bulan lalu, kontinjen negara dikritik teruk kerana gagal mencapaian sasaran 40 pingat emas yang ditetapkan, sebaliknya pulang bersama 34 emas, 45 perak dan 97.
Malaysia berada di tangga ketujuh dalam kedudukan pingat keseluruhan untuk berada di belakang Vietnam, Thailand, Indonesia, Kemboja dan Singapura, sekali gus pencapaian terburuk dalam sejarah sukan negara.
“Antara masalah yang disuarakan adalah berkaitan kemudahan latihan, persiapan, bantuan kewangan dan perkhidmatan sukan. Tapi yang menarik adalah, persatuan-persatuan harap dapat buat persiapan lebih baik sebelum ke Sukan SEA Thailand.
“Oleh sebab itu, kita akan rangka program baharu dalam beberapa bulan akan datang dan mungkin akan dibentangkan pada Ogos atau September nanti.
“Masalah lain… ada juga persatuan yang menyuarakan permasalahan kerana tiada tempat latihan tetap, contohnya sukan hoki dalam dewan. Mereka tiada tempat khusus berlatih dan kurang kemudahan. Ada juga yang minta pegawai ISN (Institut Sukan Negara) ditambah, semua ini diambil kira.
“Secara keseluruhan, saya lihat ramai yang mahukan MSN merangka program lebih cepat, jadi kita insya-Allah akan mulakan September nanti. Semua permohonan mereka terhadap segala permasalahan juga diberi perhatian dan akan ditangani lebih baik selepas ini,” kata Jefri.
Post mortem tersebut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bertujuan mencari penyelesaian dan cadangan bagi meningkatkan tahap prestasi atlet dalam Sukan SEA seterusnya.
Turut hadir sama, wakil Universiti Sains Sukan Nippon (NSSU) dari Tokyo, Jepun sebagai pemantau yang juga terlibat dalam mengemukakan penambahbaikan.