PETALING JAYA: Sudah berdekad lama skuad sepaktakraw negara sering kecundang kepada Thailand, dan terbaharu dalam final regu Kejohanan Dunia Piala Raja Thai di Bangkok kelmarin.
Kekalahan itu juga mendorong ketua jurulatih skuad kebangsaan, Ahmad Jais Baharun memohon maaf kepada peminat di tanah air.
“Kami mohon maaf kepada seluruh peminat, penggiat sepak takraw di tanah air atas kegagalan regu kita semalam (kelmarin),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Malaysia yang menurunkan Muhammad Syahir Mohd. Rosdi, Khairol Zaman Hamir Akhbar dan Amirul Zazwan Amir kecundang lagi kepada Thailand 20-22, 17-21 untuk membawa pulang pingat perak dalam acara antara regu.
Menurut Ahmad Jais, secara keseluruhan beliau melihat prestasi pemain negara pada saingan kali ini ada menunjukkan sedikit peningkatan walaupun persiapan skuad kebangsaan agak singkat.
Jelasnya, beberapa elemen dalam permainan perlu diperbaiki dan tingkatkan bagi memperkemaskan lagi pasukan untuk menghadapi Sukan Asia nanti.
“Kita sedar tanggungjawab yang diletakkan kepada pasukan sepak takraw memang besar.
“Namun, semua pemain telah berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan semalam, cuma dari segi prestasi Syahir kalau kita lihat
semalam, memang ada sedikit kelemahan daripada servis dan kawalan gelanggang,” ujarnya.
Justeru, beliau berjanji akan melipat gandakan usaha untuk meningkatkan lagi prestasi pemain apabila turun dalam acara berpasukan hari ini.