ALOR SETAR: Kedah Darul Aman (KDA) FC membuat pengumuman mengejut apabila pemain naturalisasi mereka yang juga jentera utama bahagian tengah pasukan itu, Lee Tuck meninggalkan Sang Kenari berkuatkuasa serta-merta.
Tanpa mengetahui alasan meninggalkan KDA, pasukan itu dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi berkata, keputusan itu dicapai selepas beberapa perbincangan dan pertimbangan dilakukan antara pengurusan kelab dan Lee Tuck.
“Dengan emosi bercampur-baur kami mengumumkan persetujuan bersama mengenai pemergian Lee Tuck dari KDA FC.
“Seperti perjalanan mana-mana pemain bola sepak, peralihan adalah sebahagian dalam kerjaya seorang atlet. Keputusan ini telah dicapai dengan cara yang baik dan kami menghormati keinginan Lee Tuck,” katanya di sini, hari ini.
Hujung tahun lalu, Lee Tuck menandatangani kontrak selama tahun bersama Sang Kenari yang mengisi slot kuota pemain tempatan terakhir bagi musim ini.
Kehadiran pemain prolifik itu memperkukuh jentera tengah skuad kendalian Nafuzi Zain, apatah lagi dia pernah bekerjasama dengan pengendali itu dari 2018 hingga 2020 di Terengganu FC.
Sementara itu, KDA turut memaklumkan, Lee Tuck telah mempamerkan dedikasi yang tinggi, kemahiran yang luar biasa dan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap prestasi KDA FC sepanjang musim ini.
“Persembahan luar biasa beliau di atas padang telah meninggalkan kesan yang besar di hati peminat dan sumbangan beliau kepada keputusan perlawanan pasukan akan sentiasa diingati dengan penuh memori indah dan terima kasih.
“Walaupun dia tidak akan lagi memakai jersi kelab ini, kami tidak ragu-ragu bahawa Lee Tuck akan terus bersinar dalam kerjaya masa depannya. Kami mengambil peluang ini untuk merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Lee Tuck atas khidmatnya yang luar biasa kepada kelab,” katanya.
Tambahya, semangat kerja berpasukan dan kepimpinan Lee Tuck di dalam dan di luar padang telah memberi inspirasi kepada ramai pemain muda dan peminat pasukan utara tanah air itu.
Dalam pada itu, KDA menyatakan akan tetap komited kepada visi kemajuan dan kejayaan berterusan pasukan sambil giat berusaha untuk mengukuhkan skuad Sang Kenari termasuk membawa bakat baharu. – UTUSAN ONLINE