PETALING JAYA: Permulaan pantas Khairul Hafiz Jantan mengetuai kemaraan kuartet 4×100 meter (m) lelaki melangkah ke perlumbaan akhir Kejohanan Olahraga Asia yang akan berlangsung petang ini.
Kecemerlangan pasukan lelaki negara turut diteruskan rakan-rakan wanita mereka yang juga akan berentap dalam saingan akhir di Bangkok, Thailand.
Kuartet lelaki yang dibarisi Khairul Hafiz, Muhammad Azeem Fahmi, Jonathan Nyepa dan Mohammad Thaqif Hisham mencatat masa kedua terpantas dalam saringan pertama dengan catatan 39.20 saat (s).
Malaysia berada di belakang Thailand yang dibarisi Natawat Iamudom, Soraot Dapbang, Chayut Khongprasit dan Puripol Boonson selepas kuartet negara jiran itu mencatat rekod baharu kejohanan 38.66s.
Turut mara ke final ialah kuartet Singapura yang mencatat masa ketiga terpantas dalam saringan berkenaan iaitu 39.62s.
Lima lagi negara yang akan beraksi di final 7.50 malam ini di Stadium Nasional Supachalasai adalah China, Korea Selatan, Taiwan, Oman dan Arab Saudi.
Sementara itu, kurtet 4x100m wanita negara yang dibarisi Azreen Nabila Alias, Zaidatul Husniah Zulkifli, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal, Chelsea Cassiopea Evali Bopulas mara ke final selepas mencatat masa ketiga terpantas dalam saringan ketiga.
Catatan 46.17s sudah cukup buat pelari pecut wanita negara menyertai China, Jepun, Thailand, Hong Kong, Kazakhstan, Uzbekistan dan Singapura dalam aksi final 7.40 malam ini.
Dalam saingan 400m, juara Sukan SEA Kemboja yang juga pemegang rekod kebangsaan, Umar Osman mara ke separuh akhir yang akan berlangsung pada jam 5.55 petang ini.
Dia mencatat masa ketiga terpantas 46.72s di belakang di belakang pelari India, Muhammad Ajmal Variyathodi (46.06s) dan wakil Jepun, Kento Sato (46.08s) dalam saringan ketiga pagi tadi. – UTUSAN ONLINE