PETALING JAYA: Kelantan FC perlu menjelaskan tunggakan hutang hampir RM1 juta kepada dua bekas pemain dan satu jurulatih selepas kes itu diheret ke Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Dua pemain berkenaan adalah Kervens Belfort dan Fadel Mohammad Antar serta bekas jurulatih Choi Moon Sik.
Tunggakan itu perlu dijelaskan bagi membolehkan skuad The Red Warriors (TRW) membawa masuk pemain baharu dalam jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) ketika ini yang sudah dibuka pada Rabu lalu hingga 1 Ogos ini.
“Kelantan FC berhutang dengan FIFA lebih kurang RM1 juta membabitkan tiga kes iaitu dua pemain dan satu jurulatih. Kalau tak bayar, jadi tak boleh nak beli pemain untuk jendela perpindahan kedua ini,” kongsi sumber berkenaan.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan bahawa TRW sebenarnya belum lagi terlepas daripada hukuman sekatan perpindahan pemain kerana perlu menyelesaikan kes membabitkan FIFA dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) biarpun kelab itu sudah menyelesaikan kes tunggakan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Situasi terbabit menyaksikan Kelantan FC sebenarnya belum 100 peratus keluar daripada sekatan perpindahan pemain.
Badan pengelola Liga M itu mengesahkan sekatan perpindahan pemain pada jendela kedua kekal, di mana pengerusi badan bebas ‘First Instance Body’ (FIB), Sheikh Nasir Sheikh Sharif memaklumkan hukuman MFL membabitkan kes berbeza dengan tindakan yang sudah diambil oleh FAM.
Hukuman itu diputuskan FIB susulan kegagalan kelab berkenaan menghantar bukti bayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan sebelum tarikh akhir yang ditetapkan pada 28 dan 30 Jun lalu.
FAM mengenakan sekatan perpindahan ke atas Kelantan FC susulan kegagalan kelab itu melunaskan tunggakan gaji pemain dalam tempoh ditetapkan, hingga ia juga sudah diheret ke Badan Penyelesaian Pertikaian Nasional (NDRC) sebelum ini.
Sementara itu, bagi pihak Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) tindakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengekal sekatan terhadap pasukan yang mempunyai masalah tunggakan gaji adalah wajar.
Timbalan Presiden PFAM, Razman Roslan berkata, tindakan tegas ini bukan sahaja memberi kebaikan kepada pemain, malah merupakan satu peringatan kepada pasukan lain agar tidak membiarkan ‘penyakit’ seperti ini terus merebak dalam Liga Malaysia.
“Keputusan yang dibuat MFL sudah tertakluk pada undang-undang dan sepatutnya dia (Kelantan FC) pun tahu. Bila tidak bayar (gaji dan sebagainya) boleh dikenakan sekatan dan tolak mata contohnya.
“Apa yang dibuat oleh MFL dan FAM itu sebenarnya bagus untuk pemain dan sebagai cara memastikan isu-isu gaji ini terus berulang masalah sama.
“Sudah memasuki 2023 dan pasukan sudah FC (penswastaan) tetapi masih berlaku,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.