PETALING JAYA: Hasrat Kelantan FC untuk menyunting pemain baharu untuk jendela perpindahan kedua Liga Malaysia yang telah dibuka perlu ditangguhkan apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan sekatan perpindahan terhadap pasukan itu masih lagi kekal.
Pengerusi badan bebas ‘First Instance Body’ (FIB) Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif memaklumkan bahawa hukuman yang dikenakan pihaknya adalah membabitkan kes berbeza dengan tindakan yang sudah diambil oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“Jadi, Kelantan FC perlu menyelesaikan segala kes tunggakan bayaran KWSP serta tunggakan gaji pemain dan pegawai yang dirujuk kepada FIB untuk sekatan perpindahan pemain itu ditarik semula.
“Bagaimanapun saya melihat, CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) Kelantan FC, Norizam Tukiman terbuka mengambil tanggungjawab serta menunjukkan usaha untuk membayar tunggakan itu.
“Dengan tempoh masa yang diberikan sehingga tarikh akhir jendela kedua pada 1 Ogos depan, saya berharap Kelantan FC dapat menyelesaikan masalah ini,”katanya.-UTUSAN ONLINE