PETALING JAYA: Juara 400 meter (m) Sukan SEA, Shereen Samson Vallabouy dan jaguh lompat bergalah negara, Nor Sarah Adi tercicir daripada Kejohanan Olahraga Asia di Pattaya, Thailand dari 12 hingga 16 Julai ini.
Shereen, 24, yang memegang rekod 400m kebangsaan dengan catatan 51.80 saat (s) terpaksa melupakan saingan kerana mempunyai komitmen latihan serta kejohanan di Amerika Syarikat (AS).
Sarah, 22, yang meraih pingat perak pada Sukan SEA Kemboja, Mei lalu dan memenangi emas di Hanoi 2022 belum pulih daripada kecederaan ligamen kaki kanan.
“Sekarang baru 70 hingga 80 peratus proses pemulihan, jadi saya buat keputusan menolak Kejohanan Asia sebab takut kecederaan menjadi lebih serius.
“Kejohanan Asia sebenarnya lebih kepada persiapan Sukan Asia Hangzhou, September nanti. Di WUG (Sukan Universiti Dunia) pun saya boleh buat juga kerana berlawan dengan atlet-atlet handalan dunia,” kata Sarah.
Selain Sarah dan Shereen, turut tidak akan menyertai skuad negara kali ini adalah pelari pecut, Nur Aishah Afina Roling serta dua atlet lompat tinggi, Mohamad Eizlan Dahalan dan Farell Glen Felix Jerus.
Kebanyakan atlet menggunakan Kejohanan Asia untuk mengubah status mereka daripada kategori B ke kategori A menjelang Sukan Asia, 23 September hingga 8 Ogos depan.
Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bagaimanapun boleh bergantung kepada 31 lagi atlet untuk membawa pulang pingat sejak kali terakhir disumbangkan jaguh lempar cakera, Irfan Shamsuddin yang meraih perak di Bhubaneswar, India pada 2017.
Cabaran Malaysia akan turut digalas pelari pecut remaja sensasi, Muhammad Azeem Fahmi yang memegang rekod 100m kebangsaan dengan masa 10.09s