Kejohanan Asia beri petunjuk kedudukan beregu negara

Kejohanan Asia beri petunjuk kedudukan beregu negara

IVAN-Rachel (baju kuning) memenangi pingat perak selepas kalah kepada Harinder-Dipika pada perlawanan akhir Kejohanan Skuasy Beregu Campuran Asia di Hangzhou, China kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kejohanan Skuasy Beregu Campuran Asia yang baru sahaja berakhir di Hangzhou, China kelmarin, memberi petunjuk jelas di mana kedudukan Malaysia dalam saingan beregu campuran menjelang Sukan Asia, September ini.

Sekalipun, dua beregu negara iaitu Ivan Yuen-Rachel Arnold dan Mohammad Syafiq Kamal-Aifa Azman sekadar membawa pulang perak serta gangsa, tetapi, harapan mereka untuk memenangi pingat emas masih ada pada temasya empat tahun sekali itu.

Kedua-dua pasangan Malaysia itu memiliki peluang sama rata dan dengan sedikit kerja rumah, sama ada Ivan-Rachel atau Syafiq-Aifa jika diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab untuk bersaing dalam acara beregu campuran, mereka mampu melunaskannya.

Baik Ivan-Rachel, mahupun Syafiq-Aifa, kedua-dua beregu tersebut telahpun menguji gandingan emas India, Harinder Pal Singh-Dipika Pallikal dalam perlawanan akhir dan separuh akhir, jadi, kelebihan itu harus dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memperbaiki mana-mana kelemahan yang wujud.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S. Maniam ketika dihubungi turut mengakui, ada tugasan tambahan yang perlu pasukan negara lakukan bagi memantapkan lagi permainan sebelum Sukan Asia.

MANIAM (kiri) sedang berkata sesuatu kepada Ivan-Rachel pada Kejohanan Beregu Campuran Asia di Hangzhou, China yang berakhir kelmarin.

“Ada sedikit kerja kita perlu lakukan menjelang Sukan Asia, kita perlu menonton kembali perlawanan menerusi rakaman video, jadi dari situ kita akan mengetahui di mana kelemahan dan kekuatan kita yang perlu diperbaiki,” katanya  hari ini.

Beliau berkata, secara keseluruhan beregu negara mempamerkan persembahan yang baik sepanjang kejohanan.

“Kita menang satu pingat perak dan satu gangsa, untuk perebutan tempat ketiga, Syafiq dan Aifa berjaya menewaskan pasangan India, Abhay Singh-Anahat Singh.

“Dalam perlawanan akhir pula, aksi berlangsung sengit, tetapi India memiliki sedikit kelebihan dan menewaskan beregu kita (Ivan-Rachel),” ujarnya.

IVAN-Rachel (kiri) dan Syafiq-Aifa memiliki peluang sama rata untuk menjelmakan pingat emas pada Sukan Asia.

Bagi memperkemaskan lagi rangka persiapan skuad kebangsaan, jelas Maniam, pada 19-22 Julai ini, SRAM akan menganjurkan kejohanan beregu jemputan di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil.

Tambahnya, setakat ini, Malaysia selaku tuan rumah berjaya menarik beberapa negara menyertai kejohanan itu antaranya Hong Kong yang telahpun mengesahkan penyertaan mereka.

Pada Sukan Asia yang juga akan diadakan di Hangzhou, SRAM mensasarkan dua pingat emas dengan salah satunya daripada acara perseorangan lelaki dan satu lagi mungkin hadir sama ada menerusi beregu campuran, berpasukan atau perseorangan wanita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya