ALOR SETAR: Menerima kunjungan pasukan sedang bergelut, Kelantan United di laman sendiri malam ini, Kedah Darul Aman (KDA) turun dengan hanya satu misi, memburu kemenangan dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman.
Tiga mata penuh penting buat Sang Kenari untuk menghambat kelompok tiga terbaik liga di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor dan Sri Pahang.
Begitupun bakal berdepan lawan yang menunjukkan peningkatan di bawah pengendali baharu, Ailton Dos Santos Silva serta beberapa import baharu membuatkan Kedah perlu lebih berwaspada jika enggan dihukum di depan penyokong sendiri.
Pengendali Kedah, Nafuzi Zain berkata, ketika ini cabaran mana-mana pasukan tidak boleh dipandang rendah kerana masing-masing dilihat mengambil kesempatan daripada jendela perpindahan kedua untuk menambah kekuatan.
“Memandangkan kita sudah mengharungi lebih separuh perlawanan liga, sasaran kami sentiasa sama iaitu mahu kutip tiga mata penuh dalam setiap perlawanan tetapi ia bukan mudah lebih-lebih lagi dengan kemasukan beberapa pemain baharu ke dalam pasukan tertentu.
“Begitu juga Kelantan United. Melihat aksi mereka dalam beberapa perlawanan sebelum ini, memang ada peningkatan dengan kemasukan pemain baharu.
“Kelantan kali ini berbeza berbanding dengan pasukan yang kami kalahkan 3-2 dalam pusingan pertama Liga Super,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Suka Menanti, semalam.
Mengulas mengenai pasukannya, Nafuzi berkata, keserasian antara pemain sedia ada dengan dua pemain import baharu belum berada di tahap terbaik.
“Itu perkara biasa, lagi pun Ifedayo Olusegun dan Moses Atede baru beberapa minggu menjalani latihan bersama. Sudah tentu mereka perlukan masa untuk faham dan membentuk keserasian sepenuhnya bersama rakan sepasukan,” katanya.