PETALING JAYA: Semuanya tidak memihak Lee Zii Jia ketika ini apabila terus dihantui badi kekalahan di pusingan pertama.
Kelmarin, bekas juara All England dan Asia berusia 25 tahun itu kalah 22-20,17-21, 19-21 oleh pemain tuan rumah, Kenta Nishimoto dalam aksi pertama Terbuka Jepun.
Ini kekalahan keempat berturut-turut Zii Jia di pusingan pertama dan yang kedua di bawah kendalian Wong Tat Meng.
“Kalah lagi dan perlawanan yang sangat mengecewakan, itu sahaja saya boleh beritahu. Saya tak nampak sebaran kemajuan setakat ini, saya minta maaf dan terima kasih,” jelas Zii Jia.
Keadaan bertambah sukar buat Zii Jia apabila ranking dunianya jatuh ke tangga ke-18, sekali gus memberikan kesan diundi menentang pemain pilihan dalam kejohanan utama.
Jika ini berterusan, kedudukannya dalam program Road to Gold (RTG) juga di ambang bahaya memandangkan penilaian akan dibuat September depan.
“Apabila anda kerap kalah, ia akan memberi kesan kepada diri anda. Tambahan pemain pada masa kini perlu beraksi dalam jadual yang amat padat, ia adalah situasi yang amat sukar.
“Saya tidak boleh bayangkan betapa sukarnya keadaan Zii Jia dan jurulatihnya, Tat Meng. Dia kini terpaksa beraksi dengan pemain-pemain pilihan seawal pusingan pertama disebabkan ranking yang semakin menurun,” kata bekas jurulatih kebangsaan, Datuk Rashid Sidek.
Selepas Terbuka Korea dan Jepun, Zii Jia akan bertandang ke Sydney minggu hadapan untuk bersaing dalam Kejohanan Terbuka Australia.