MELAKA: Dua atlet karate negara, S. Prem Kumar dan Zakiah Adnan menceriakan Kem Malaysia apabila menyumbang pingat gangsa pada hari pertama Kejohanan Karate Asia Edisi Ke-19 yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, semalam.
Bagi Prem Kumar, keinginannya untuk memperbaiki pencapaian di Uzbekistan tahun lalu tidak kesampaian, sebaliknya berpuas hati meraih gangsa dalam Acara Kumite lelaki 55 kilogram (kg).
Atlet berusia 29 tahun itu tewas 14-5 kepada Behnam Dehghanzadeh dari Iran. Keputusan itu sekali gus mengulangi pencapaiannya pada edisi Disember tahun lalu.
Sementara itu, Zakiah, 20, melakar kejutan pada penampilan keduanya dalam saingan berprestij ini apabila meraih gangsa dalam Acara Kumite Wanita bawah 61 kg.
Dia tidak berdepan masalah menewaskan Chow Hei Wood dari Hong Kong selepas mengharungi pusingan repechage.
Bagaimanapun, nasib tidak memihak kepada dua lagi atlet negara iaitu S. Sharmin Chandran dan S. Geerijaieswaran Pillai apabila terkandas seawal pusingan pertama pada aksi sebelah pagi.
Pada kejohanan yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam, seramai 388 atlet dari 32 negara bertanding termasuk Jepun selaku juara bertahan.
Sebanyak 17 kategori dipertandingkan iaitu 11 kategori individu lelaki dan wanita dalam Acara Kata dan Kumite mengikut kelas berat masing-masing dan enam kategori berpasukan Kata dan Kumite lelaki dan wanita. – UTUSAN