PETALING JAYA: Hasrat untuk melihat perseorangan utama lelaki negara, Lee Zii Jia melangkah jauh dalam penampilannya di Kejohanan Badminton Terbuka Korea 2023 tidak kesampaian apabila disekat pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Long di pusingan pertama hari ini.
Ini merupakan pertembungan pertama mereka selepas Zii Jia dilatih oleh Ng Tat Meng, sementara Ka Long pula dibimbing bekas Pengarah Kejurulatihan Perseorangan negara, Wong Choong Hann.
Bagaimana Zii Jia tampak bergelut untuk menyaingi Ka Long sebelum akur tewas dengan keputusan 15-21, 21-18, 17-21 dalam tempoh 56 minit.
Terdahulu, rakan senegara, Leong Jun Hao yang baru sahaja dinobatkan sebagai juara kebangsaan ditunjukkan jalan keluar selepas tewas pilihan keempat kejohanan dari Singapura, Loh Kean Yew dengan keputusan 10-21, 14-21.
Skrip berbeza untuk perseorangan wanita negara apabila K. Letshanaa dan S. Kisona berjaya menempah tiket ke pusingan kedua selepas menewaskan lawan masing masing.
Kisona berjaya mengatasi pemain Amerika Syarikat (AS), Lauren Lam dnegan keputusan 21-19, 21-19, sementara Letshanaa meneruskan momentum daripada pusingan kelayakan untuk menyingkirkan pemain Taiwan, Huang Ching Ping dengan keputusan 21-12, 15-21, 21-18.
Harapan untuk melihat Goh Jin Wei mengikut jejak mereka tidak kesampaian apabila tewas kepada pemain Indonesia, Putri Kusuma Wardani dengan keputusan 18-21, 21-14, 19-21.
Pertemuan sesama Malaysia dalam acara beregu campuran pula memihak kepada pasangan profesional, Goh Soon Huat dan Shevon Lai.
Soon Huat dan Shevon yang turun sebagai pilihan ketujuh kejohanan menewaskan juara Terbuka Taiwan, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dengan keputusan 21-16, 21-16.
Chang Peng Soon yang bergandingan dengan Cheah Yee See juga akur apabila tewas kepada pasangan tuan rumah, Ko Sung Hyun-Eon Hye Won dengan keputusan 19-21, 17-21.
Tugas berat buat Hoo Pang Ron dan Teoh Mei Xing untuk menandingi pilihan kedua kejohanan dari Thailand, Dechapol Puavanukroh-Sapsiree Taerattanachai apabila tewas 17-21, 10-21.