PETALING JAYA: Perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao memasang misi besar dalam penampilannnya di Kejohanan Badminton Kebangsaan 2023 yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara minggu ini apabila mahu merebut gelaran No. 1 Malaysia.
Jun Hao yang mendapat ‘bye’ pada pusingan pertama cemerlang menewaskan pemain Putrajaya, Zulhelmi Zulkifli di pusingan kedua, dan bakal menentang pemain Negeri Sembilan, Sie Zie Lok esok.
Pilihan pertama kejohanan itu akui ini adalah kesempatan terbaik untuk meraih gelaran No. 1 Malaysia selepas nama besar seperti Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong tidak mengambil bahagian.
“Bagi saya, gelaran tetap gelaran dan ia akan memberi saya banyak kelebihan jika saya berjaya memenanginya kali ini.
“Saya hampir lagi menang pada edisi sebelum ini kerana ketika itu saya bergelut dengan kecederaan pinggang.
“Tetapi sekarang semuanya dah berubah, bukan sahaja pemikiran saya, tetapi gaya permainan saya juga sudah lebih matang,” jelas Jun Hao yang bergelar naib juara pada edisi 2019
Selain Jun Hao, turut sama mengesahkan kemaraan ke pusingan keempat esok adalah penyandang juara, Soong Joo Ven, juara kebangsaan dua kali, Lim Chi Wing serta beberapa pemain pilihan yang berada dalam kem kebangsaan seperti Aidil Sholeh Ali Sadikin, Muhammad Shaqeem Eiman Shahyar, Lee Shun Yang dan Ong Ken Yon.
Turut mencuri perhatian pada hari pertama kejohanan adalah kelibat pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Cheah Liek Hou yang menyahut cabaran beraksi dalam acara perseorangan lelaki
Liek Hou tidak menghadapi masalah untuk menyingkirkan Pulau Pinang, Tan Kean Wei di pusingan pertama dengan keputusan 24-22, 21-15.
Bagaimanapun perjalanannya terhenti di pusingan ketiga apabila tumbang kepada pemain BAM, Ong Zhen Yi yang juga pilihan kelima kejohanan dengan keputusan 21-12, 21-11.
“Saya masuk kejohanan ini sebenarnya kebetulan sahaja sebab jadual badminton para banyak kosong untuk bulan Julai. Jadi selepas berbincang dengan jurulatih saya, Nova Armada dia benarkan saya masuk.
“Malah kejohanan ini juga sedikit sebanyak boleh lihat apa kekurangan yang boleh saya tambah baik selepas ini dan juga bagus supaya perasaan beraksi dalam kejohanan itu dapat saya kekalkan.
“Saya nak bagitahu mereka, bahawa ada pemain paralimpik yang sebenarnya mempunyai taraf seperti mereka. Jadi saya harap dengan tekanan itu boleh buat mereka untuk berusaha lebih kuat lagi untuk berjaya,” kata Liek Hou.