Jun Hao ketepikan persahabatan buru tempat ke final

Jun Hao ketepikan persahabatan dengan Chi Wing buru tempat ke final

Leong Jun Hao
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao berwaspada dengan kelibat juara dua kali, Lim Chi Wing yang akan menjadi pencabarnya di peringkat separuh akhir esok.

Jun Hao yang diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan diberikan tentangan sengit menentang pemain profesional, Lim Chong King di peringkat suku akhir hari ini, sebelum menoktahkan perlawanan dengan keputusan 21-19, 24-22 dalam tempoh 55 minit.

Chi Wing pula yang berdepan dengan pemain kebangsaan, Aidil Sholeh Ali Sadikin mencipta sensasi apabila menyingkirkan pemain itu dengan keputusan 22-20, 21-8 dalam tempoh 38 minit.

Justeru ia sebagai satu isyarat buat Jun Hao memandangkan Chi Wing telah pun menyingkirkan seorang lagi pemain kebangsaan, Ong Ken Yon di pusingan keempat kelmarin.

“Chi Wing memang pemain yang berpengalaman, dulu kami pernah berlatih bersama. Walaupun kini dia tidak lagi beraksi di peringkat antarabangsa, tetapi dia masih lagi berlatih dengan pemain-pemain lain di luar, jadi saya perlu membuat persiapan rapi juga untuk menentangnya esok.

“Saya sudah mengenalinya sejak saya berusia sembilan tahun, memandangkan kami sama-sama pernah berada di KLBA (Persatuan Badminton Kuala Lumpur), jadi kami memang berkawan baik. Malah kami pernah pergi bercuti bersama, dan beberapa hari sebelum pertandingan ini, kami sempat bergurau seandainya bertemu sesama sendiri,” jelas Jun Hao.

Juara kebangsaan dua kali, Lim Chi Wing tidak menghadapi masalah untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Kebangsaan 2023 selepas menumpaskan Aidil Sholeh Ali Sadikin dalam aksi yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara hari ini. (FOTO: Ihsan BAM)

Bagi Chi Wing yang baru keluar daripada persaraan dan hanya berlatih beberapa hari sahaja untuk saingan ini mengakui kejohanan kebangsaan mungkin saingan yang membawa tuah buatnya.

Chi Wing pernah dinobatkan sebagai juara pada edisi 2016 dan 2017 sehingga pernah dilabel pengganti legenda negara, Datuk Lee Chong Wei pada ketika itu.

“Mungkin juga kejohanan kebangsaan sering membawa tuah kepada saya, tetapi saya akan terus mencuba. Saya langsung tidak menetapkan sebarang sasaran untuk kejohanan ini, apatah lagi kini saya berjaya melangkat ke peringkat separuh akhir.

“Kalau dahulu mungkin saya akan terlalu memikirkannya, tetapi kini saya hanya mahu menikmati setiap perlawanan kerana saya pun tidak tahu berapa banyak kejohanan kebangsaan lagi yang saya boleh sertai selepas ini,” kata Chi Wing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya