KUALA TERENGGANU: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedia menambah jumlah atlet dalam program ‘Road To Gold’ (RTG) bagi mencerahkan peluang memburu pingat emas pertama Sukan Olimpik di Paris, tahun hadapan.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim berkata, Jawatankuasa RTG sentiasa memantau prestasi semasa atlet berpotensi yang memenuhi kriteria ranking 10 terbaik dunia.
Menurutnya, penambahan skuad hoki lelaki negara menjadi contoh prospek pingat emas yang dimiliki skuad kendalian Arul Selvaraj itu membolehkan tersenarai dalam program RTG.
“Perkembangan latihan serta lain-lain keperluan atlet di bawah program RTG sentiasa diteliti jawatankuasa dan berdasarkan maklum balas diterima, semua berjalan lancar.
“Ianya termasuk permintaan tambah baik latihan membabitkan jaguh berbasikal, Datuk Azizulhasni Awang yang turut dipantau dari masa ke semasa dan kita akan bantu atlet program RTG.
“Mungkin juga ada penambahan bilangan atlet (RTG) seperti pasukan hoki lelaki yang baru tersenarai dan jika ada prospek, kita akan tambah berdasarkan prestasi semasa,” katanya.
Adam Adli yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya ditemui selepas melawat bekas pemain bola sepak negara, Harun Jusoh, di kediamannya di Batu Buruk dekat sini, hari ini.
Jun lalu, skuad hoki lelaki negara menjadi atlet berpasukan pertama tersenarai dalam program RTG selepas memenuhi syarat menghuni kedudukan ranking 10 terbaik dunia.
Program RTG sebelum ini dibarisi 15 atlet dengan didominasi atlet badminton antaranya Lee Zii Jia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, Pearly Tan dan M. Thinaah serta Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing.
Selain itu, Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom (berbasikal) serta atlet terjun, Datuk Pandalela Rinong Pamg dan Nor Dhabitah Sabri turut menjadi sandaran pingat emas. – UTUSAN