PETALING JAYA: Cabaran Malaysia dalam kejohanan badminton Terbuka Jepun berakhir hari ini selepas beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tumpas di suku akhir.
Juara dunia itu tunduk 21-10, 15-21, 16-21 kepada pasangan tuan rumah, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, sekali gus memanjangkan lagi penantian mereka untuk merangkul gelaran Jelajah Dunia BWF yang pertama.
Kekalahan tersebut pasti sukar ditelan peminat sukan tanah air, apatah lagi selepas melihat beregu utama negara itu menguasai set pembukaan dengan melakar kemenangan mudah.
Mereka kemudian mensia-siakan kelebihan mendahului 13-10 di set kedua, malah hanya mampu mengutip dua mata tambahan sebelum membenarkan lawan menamatkan permainan dengan kemenangan 21-15.
Di set penentuan, Aaron-Wooi Yik mengejar mata sepanjang perlawanan, yang turut terhenti kerana gangguan lampu suluh daripada penonton, sekali gus gagal menyekat momentum Hoki-Kobayashi.
Aaron-Wooi Yik, beregu No. 4 dunia satu-satunya wakil Malaysia yang beraksi pada suku akhir di Tokyo, dan kekalahan hari ini melenyapkan harapan Malaysia untuk memenangi sekurang-kurangnya satu gelaran daripada kejohanan Super 750 ini.
Ia juga satu lagi minggu yang mengecewakan bagi kontinjen Malaysia yang menyaksikan tiada pemain lawan melepasi pusingan lapan terakhir pada Terbuka Korea minggu lalu.
Seterusnya ialah Terbuka Australia minggu depan, di mana kebanyakan kontinjen yang sama akan menuju ke sana. – UTUSAN ONLINE