JDT bakal sapu bersih semua trofi Liga Malaysia sekali lagi

JDT bakal sapu bersih semua trofi Liga Malaysia sekali lagi

Pemain-pemain Johor Darul Ta’zim menjulang Piala FA selepas menewaskan Kuala Lumpur City pada perlawanan akhir di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kejayaan merangkul Piala FA memberi isyarat bahawa Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi bakal mendominasi kesemua trofi yang dipertandingan dalam Liga Malaysia (Liga M) sekali gus mengulangi kejayaan musim lalu.

Setakat ini, skuad Harimau Selatan telah memenangi Piala Sumbangsih dan Piala FA, malah berada dilandasan mengekalkan kejuaraan Liga Super buat kali kesepuluh berturut-turut.

Hal ini kerana tiada mana-mana pasukan dalam saingan liga utama bola sepak tempatan itu mampu menandingi kekuatan anak buah Esteban Solari.

Buktinya, JDT tidak pernah kalah atau seri lagi tahun ini dan mencatat rekod kemenangan bersih 17 perlawanan bagi mengumpul 51 mata maksimum.

Terbaharu, JDT mengekalkan Piala FA selepas menewaskan Kuala Lumpur City (KL City) dengan jaringan 2-0, kelmarin.

Bagi Solari, kejayaan itu bukan datang bergolek apabila The City Boys memberikan tentangan sengit dan memaksa Harimau Selatan berhempas pulas sebelum memenangi Piala FA buat kali ketiga di laman sendiri.

“Saya berbangga menjadi sebahagian daripada kelab ini yang sentiasa dahagakan kemenangan. Pada perlawanan ini, mereka dipaksa bekerja lebih keras oleh KL City yang cukup liat untuk dikalahkan.

“Namun, kesungguhan yang dipamerkan pemain akhirnya terbalas apabila berjaya memecahkan kebuntuan dengan menjaringkan dua gol. Beraksi pada final, tekanannya berbeza dan pemain melakukan terbaik untuk mendapatkan kemenangan yang diimpikan, mereka layak bergelar juara,” katanya.

Solari berkata, aksi babak pertama menyaksikan JDT bergelut untuk menembusi benteng pertahanan lawan dan situasi itu tidak melemahkan semangat pemain yang yakin bahawa serangan bertali arus itu pasti akan membuahkan hasil.

“Walaupun gol Bergson Da Silva dinafikan pengadil perlawanan yang mengatakan dia berada di kedudukan ofsaid, pemain tidak patah semangat dan terus berjuang dan menghasilkan peluang.

“Sampai satu tahap kami meninggalkan ruang yang besar di bahagian bawah kerana pemain pertahanan turut membantu melakukan serangan. Inilah komitmen tinggi pemain yang sangat impikan kemenangan menjadi realiti,” jelasnya.

PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengucup trofi selepas JDT menang dalam aksi final ke atas Kuala Lumpur City.

Pengendali kelahiran Argentina itu mengakui tidak menyangka Hong Wan berupaya meledak gol dari jarak 30 meter, sekali gus meniup semangat juang rakan sepasukan.

“Saya gembira dengan permainannya dan dia telah melakukan sesuatu yang luar biasa malam ini. Hong Wan sentiasa beraksi dengan sepenuh hati dan saya pernah katakan masanya akan tiba untuk menyinar, siapa sangka ia berlaku pada aksi final ini.

“Pujian juga perlu diberikan kepada penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi yang menafikan percubaan berbahaya lawan pada babak pertama, keadaan mungkin berbeza sekiranya mereka mampu dapat gol awal,” katanya.

Dalam pada itu, Solari jelas bimbang dengan kecederaan yang dialami Fernando Forestieri susulan dikasari pemain KL City ketika aksi memasuki minit terakhir perlawanan.

“Pada hujung permainan, dia ditendang di belakang lututnya dan belum pasti kecederaan yang dialami. Kami berharap ia bukanlah kecederaan yang serius,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN