MANHATTAN: Penyanyi rap Amerika, Jay-Z dilaporkan merancang untuk membeli Tottenham dalam pengambilalihan yang bernilai 2.2 bilion pound (RM12.8 bilion).
Perkara itu timbul selepas jutawan dan pemilik kelab tersebut, Joe Lewis mengaku tidak bersalah atas pertuduhan perdagangan orang di mahkamah Manhattan, Amerika Syarikat, Rabu lalu selepas dia menyerah diri kepada pihak berkuasa negara itu.
Lewis, 86, dibebaskan dengan bon 300 juta dolar (RM1.3 bilion) yang dijamin menggunakan kapal layar dan pesawat persendiriannya.
Susulan kes berkenaan, terdapat dakwaan bahawa Jay-Z kini menawarkan nilai luar biasa untuk membeli Tottenham.
Rapper berusia 53 tahun itu dikatakan mempunyai nilai bersih peribadi 1.95 bilion pound (RM11.4 bilion) manakala isterinya, Beyonce memiliki 420 juta pound (RM2.5 bilion).
Jay-Z yang juga merupakan pemilik bersama kelab bola keranjang NBA Brooklyn Nets, bersedia mengetuai sekumpulan pelabur sementara mereka menunggu keputusan pertuduhan terhadap Lewis.
Berita yang mengejutkan itu muncul selepas Beyonce menjadi tajuk utama dalam siri konsert di Stadium Spurs musim panas ini.
Rakan Jay-Z memberitahu, penyanyi itu akan mengambil peluang untuk mempunyai jawatan tertinggi dalam peringkat lembaga, selari dengan beberapa kelab lain dalam Liga Perdana Inggeris yang juga dimiliki oleh warga Amerika Syarikat.
“Apa yang bakal berlaku ini lebih daripada beberapa kelab terbaik di sana, Manchester United, Liverpool, Chelsea yang kini berada di bawah pemilikan orang Amerika. Jay berhasrat untuk mengawal kepentingan di peringkat lembaga Spurs.
“Setakat ini seperti ada ruang untuk Lewis bebas. Jika dia tidak melakukannya, Jay berkata dia mahu melakukan ini cepat dengan harga yang tepat.
“Dia bahkan percaya pembelian ini mampu dicapai, terutamanya dengan sokongan pelabur,” kata rakannya itu.-AGENSI