LONDON: Berbeza dengan sikap mesra dan statusnya sebagai antara pemain paling disayangi dalam jelajah WTA, Ons Jabeur bercakap tentang sesuatu yang ‘menyakitkan’ dalam Wimbledon kali ini iaitu misinya membalas dendam.
Bintang tenis Tunisia itu bercakap tentang misi membalas sebelum menentang Elena Rybakina pada suku akhir selepas kalah kepada jaguh Kazakhstan tersebut dalam final tahun lalu.
Dia sekali lagi bercakap tentang balas dendam sebelum melangkah gelanggang separuh akhir semalam, menentang Aryna Sabalenka, pemain Belarus yang menjuarai Terbuka Australia tahun ini.
Selepas menyingkirkan Sabalenka 6-7 (7-5), 6-4, 6-3, misi balas dendam Jabeur tidak terhenti di situ.
Dia sekali lagi bercakap mengenainya menjelang pertemuan akhir dengan Marketa Vondrousova dari Republik Czech hari ini.
Semalam, Vondrousova mencatat kemenangan sensasi 6-3, 6-3 ke atas bintang kesayangan Ukraine, Elina Svitolina.
Jabeur tewas dua kali kepada Vondrousova tahun ini. Dia turun dengan misi melunaskan dendam, sekali gus memenangi gelaran Grand Slam pertamanya selepas gagal dalam tiga percubaan di pentas akhir.
“Dengan turun untuk membalas dendam dalam setiap perlawanan, ia nyata memberi kesan buat saya.
“Saya amat bangga kerana diri saya yang dulu mungkin sudah tewas perlawanan hari ini dan terus pulang tetapi saya berjaya bertahan dan mencari kekuatan,” kata pemain No. 6 dunia itu.
Sementara itu, Vondrousova, pemain ranking ke-42 dunia akan beraksi dalam final Grand Slam keduanya selepas muncul naib juara Terbuka Perancis 2019.
“Sukar untuk mempercayainya. Saya amat gembira dapat mara ke final.
“Elina lawan yang sukar dan individu yang hebat. Saya sangat gemuruh,” kata Vondrousova yang memahat sejarah sebagai pemain bukan pilihan pertama mara ke final Wimbledon dalam era Terbuka. – AGENSI