LONDON: Ons Jabeur melalui detik paling mengecewakan dalam karier tenisnya apabila kalah pada perlawanan akhir Wimbledon buat kali kedua berturut-turut.
Turun sebagai pilihan keenam, bintang Tunisia itu tumpas 4-6, 4-6 kepada pemain bukan pilihan dari Republik Czech, Marketa Vondrousova.
Kekalahan itu hadir 12 bulan selepas dia dikecewakan di gelanggang yang sama, Centre Court kepada Elena Rybakina.
Vondrousova, pemain kidal berusia 24 tahun muncul pemain bukan pilihan pertama memenangi gelaran perseorangan wanita Wimbledon dalam era Terbuka.
Ons gagal menjadi pemain Arab dan Afrika pertama memenangi salah satu daripada empat gelaran Grand Slam.
Dia mempamer aksi gugup pada ketika Vondrousova, yang menjalani pembedahan pergelangan tangan tahun lalu bermain lebih tenang untuk merangkul gelaran Grand Slam pertamanya. – AGENSI