KUALA LUMPUR: Jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsudin memastikan kontinjen negara tidak pulang dengan tangan kosong pada Kejohanan Olahraga Asia apabila meraih pingat gangsa di Bangkok hari ini.
Catatan 59.63 meter (m) yang dilakukan Irfan jauh daripada rekod kebangsaan miliknya, 62.55m, namun memadai untuk memberikan pingat kedua buat atlet kelahiran Negeri Sembilan itu dalam Kejohanan Asia.
Pemenang enam pingat emas Sukan SEA itu pernah memenangi perak dalam Kejohanan Asia 2017 di Bhubaneswar.
Atlet China, Abuduaini Tuergong dengan catatan 61.19m membawa pulang pingat emas, manakala perak milik Eissa Zankawi dari Kuwait dengan 60.23m. – UTUSAN ONLINE