PETALING JAYA: Jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim menyifatkan tugasannya mengendalikan Kuching City musim ini sebagai cabaran terbesar yang pernah dilaluinya sepanjang karier kejurulatihan.
Beliau berkata, sepanjang kariernya bergelar jurulatih beliau belum pernah lagi mencatatkan banyak kekalahan seperti bersama Kuching City yang ketika ini sudah mencapai 11 kekalahan pada musim ini.
“Tak pernah dalam sejarah saya hadapi kekalahan demi kekalahan seperti ini, selepas ini kami tak boleh lagi catat kekalahan tak kiralah di gelanggang sendiri atau lawan.
“Ini adalah cabaran terhebat saya tetapi, saya berterima kasih kepada pihak pengurusan yang terus beri kepercayaan kepada saya untuk mengendalikan pasukan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam siang akbar selepas pasukannya tewas 1-2 kepada Selangor FC dalam aksi Liga Super 2023 yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kelmarin.
Mengulas mengenai aksi anak-anak buahnya, Irfan berkata, beliau berpuas hati dengan persembahan para pemain pada perlawanan itu tetapi kecewa dengan keputusan akhir.
Sementara itu, Irfan turut mengakui bahawa masalah untuk menjaringkan gol menjadi punca pasukannya tidak mencatatkan keputusan yang baik dalam beberapa perlawanan.
“Saya kata kepada pemain kita bolos gol kurang daripada beberapa pasukan lain tetapi kita tidak menjaringkan gol. Jadi, saya harapkan pusingan kedua nanti dengan kehadiran beberapa pemain akan memperkuatkan lagi bahagian serangan,” katanya.
Dalam pada itu katanya, beberapa pemain baharu sudah menjalani latihan dengan pasukan tetapi masih tidak dipastikan sama ada boleh diturunkan pada perlawanan seterusnya menentang Sabah selepas ini.
Ketika ini, Kuching City pula terus berada dalam kelompok bawahan apabila hanya mengumpul enam mata dan menghuni tangga ke-12.-UTUSAN ONLINE