PETALING JAYA: Penganjur empat edisi Le Tour de Langkawi (LTdL), Human Voyage (M) Sdn. Bhd. (HVSB) mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).
Tindakan tersebut diambil susulan kenyataan yang dikeluarkan PKBM dan presidennya yang dianggap telah menjatuhkan imej HVSB.
Ketua Pegawai Operasi HVSB, Shahaizereen A Hamid dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan sepanjang menganjurkan LTdL pada 2015, 2019, 2020 dan 2022 tidak timbul berkaitan hutang kepada mana-mana kontraktor mahupun pasukan, malah hadiah wang kemenangan juga sudah dibayar.
“Sepanjang HVSB menganjurkan LTdL sebelum ini, tiada isu langsung berkaitan dengan hutang terhadap mana-mana kontraktor mahupun pasukan, malah hadiah wang kemenangan juga telah dibayar kepada pasukan.
“Malah, HVSB telah membayarkan hutang dari penganjur terdahulu dan perkara ini tidak digembar-gemburkan, malah hingga sekarang PKBM tidak membantu apa-apa dalam hal ini.
“Kami juga sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang kepada pihak PKBM dan juga presidennya atas kenyataan beliau selama ini.
“PKBM seharusnya menjadi pemudah cara bagi pihak penganjur dan bukannya menjejaskan imej di mana ia turut akan menjejaskan penajaan terhadap LTdL itu sendiri.
“HVSB sendiri melunaskan segala yuran penyertaan yang tinggi, malah lebih tinggi daripada yang dikenakan oleh UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa ) oleh pihak PKBM selama ini,” kata kenyataan tersebut.
Di bawah penganjuran HVSB, kelas kategori LTdL dinaikkan daripada status Hors Class (HC) kepada UCI ProSeries pada tahun 2020.
Ini adalah pencapaian yang besar dalam penganjuran dan hasil kejayaan itu dapat menarik minat pasukan World Tour Team untuk datang dan edisi lalu menghimpunkan enam pasukan handalan dunia untuk bertanding di LTdL.
Di pihak HVSB, mereka memahami situasi kementerian dalam menyelesaikan baki bayaran HVSB memandangkan situasi pasca pandemik serta penelitian dokumen menyebabkan ia mengambil masa sedikit dari segi pembayaran.
Disebabkan itu, HVSB mengambil langkah mendiamkan diri bagi menghormati perjanjian yang ada antara pihak HVSB dan juga pihak kementerian.
Penganjuran LTdL kini menjadi persoalan apabila UCI mengeluarkan perlumbaan berkenaan dari kalendar perlumbaan tahun ini.
Ia susulan tunggakan bayaran penganjur sebelum ini kepada lima pasukan bertanding yang melebihi RM1 juta.
Jumlah berkenaan bagaimanapun tidak membabitkan hadiah kemenangan oleh pihak penganjur sebelum ini namun berkisar kepada bayaran lain seperti penampilan dan tiket penerbangan. – UTUSAN ONLINE