LONDON: Johnny Herbert mendedahkan, dia tidak tahu mengapa Sky Sports memecatnya sebagai pengulas dalam sukan Formula Satu (F1), walaupun telah bertugas sejak 11 tahun lalu.
Herbert menyertai penyiar rasmi F1 itu pada 2012 semasa syarikat tersebut mendapat hak menyiarkan perlumbaan itu di United Kingdom.
Dia kemudian menjadi tokoh utama dalam liputan F1 dengan melaporkan prestasi pasukan seperti Jaguar dan Sauber namun tiba-tiba SkySports memutuskan untuk menyingkirnya tahun ini, iaitu dua bulan sebelum kejuaraan bermula.
Bagaimanapun, dia tidak berseorangan kerana seorang lagi pengulas yang juga pernah menjadi pemandu F1, Paul di Resta juga turut dipecat.
Kedua-duanya dikhabarkan berada di penghujung kontrak dengan tiada lanjutan perjanjian, namun terdapat juga spekulasi yang mengatakan bahawa pemotongan kos menjadi sebab utama SkySports memecat mereka.
Bercakap kepada The Mirror, Herbert memberitahu dia masih tidak tahu alasan penyiar itu memutuskan untuk tidak memperbaharui kontraknya.
“Saya tidak membuat keputusan untuk berundur, saya ingatkan semuanya berjalan lancar.
“Namun saya dapat panggilan Disember lalu namun diberitahu perkara telah berubah. Mereka tidak menjelaskan mengapa atau apa yang berubah. Saya benar-benar tak tahu,” katanya.
“Saya tahu, mereka melakukan semakan pelanggan di mana pengulas diberi mata dengan 10 mata paling tinggi, dan saya juga tahu saya merupakan pengulas yang popular dan sentiasa dapat markah yang baik.
“Bagi saya ini agak memalukan, tetapi tak apa. Saya sudah lepas fasa itu, saya berjaya atasinya. Hidup perlu diteruskan,” katanya.