PETALING JAYA: Pelumba veteran lebuhraya negara, Mohd. Harrif Saleh menaruh harapan tinggi untuk bergelar juara kebangsaan buat kali pertama pada Kejohanan Berbasikal Lebuhraya Kebangsaan di Terengganu pada 20 hingga 23 Julai ini.
Ia juga dianggap misi serampang dua mata Harrif yang turut mahu menjadikan saingan itu sebagai pemanas badan sebelum beraksi di Le Tour de Langkawi (LTdL) pada 23 sehingga 30 September depan.
Harrif hampir menamatkan penantiannya itu ketika edisi 2016, namun terpaksa akur apabila tewas kepada abangnya, Mohd. Zamri Saleh untuk bergelar naib juara
“Impian saya memang nak bergelar juara kebangsaan, tetapi tengok juga keadaan, serta perancangan pasukan ketika hari pertandingan. Mungkin ada pelumba yang akan mengasak dan meninggalkan peloton dari awal.
“Kalau ikutkan acara lebuhraya ini, memang ia perlumbaan sehari sahaja, jadi untuk saya sendiri, memang hendak melakukan yang terbaik, mencipta kejutan,” kata Harrif yang akan mewakili Terengganu Polygon Cycling (TSG).
Bagi menguatkan fizikalnya, Harrif kembali berlatih dan berlumba dalam saingan trek sehingga mengambil bahagian pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Velodrom Nasional, Nilai bulan lalu.
Harrif yang kembali semula ke kejohanan itu selepas 11 tahun menamatkan saingan acara perlumbaan penyingkiran (elimination) di kedudukan kelapan daripada 15 peluma yang mengambil bahagian.
“Sebenarnya saya bermain dalam acara trek hanya persiapan ke LTdL. Ia sebahagian daripada program latihan kerana ramai pelumba trek akan beralih ke lebuhraya juga.
“Saya hendak menguatkan kekuatan saya, jadi trek pilihan yang sesuai.
“Saya juga sudah bincang dengan jurulatih di TSG, Jeremy Hunt dan dia bersetuju sebab tahu keadaan fizikal saya, sebab untuk lebuhraya memang saya sudah ada tahap yang tersendiri,” jelas Harrif.
TSG meraih kejayaan membanggakan dalam LTdL musim lalu apabila Nur Aiman Zariff berjaya mempertahankan gelaran Raja Bukit.