MANCHESTER: Manchester City sudah mencapai persetujuan dengan RB Leipzig untuk menandatangani Josko Gvardiol dengan nilai perpindahan termahal dunia bagi pemain pertahanan.
Menurut akhbar Metro, bintang Croatia itu akan menandatangani perpindahan bernilai 86 juta pound (RM505.53juta).
Itu bermakna, Gvardiol, 21, akan mengatasi rekod pertahanan termahal dunia yang ketika ini dipegang oleh Harry Maguire selepas Manchester United membayar 80 juta pound (RM471.2 juta) dari Leicester City pada 2019.
Gvardiol bersedia menyertai rakan senegaranya, Mateo Kovacic yang melengkapkan perpindahan bernilai 25 juta pound (RM147.2 juta) ke Etihad bulan lalu.
Nama Gvardiol menjadi sebutan sejak berpindah ke Bundesliga pada 2020 dengan membuat 87 penampilan untuk Leipzig dan memenangi Piala Jerman dua musim berturut-turut.
Dia juga telah membuat 21 penampilan bersama skuad Croatia, selain turut beraksi dalam Piala Dunia Qatar tahun lalu, di mana negaranya menduduki tangga ketiga.
Gvardiol adalah pemain ketiga meninggalkan Leipzig selepas penyerang mereka, Christopher Nkunku menyertai Chelsea, manakala bintang tengah, Dominik Szoboszlai berpindah ke Liverpool.
Dalam perkembangan lain, City bersetuju untuk melepaskan bintang tengah Algeria, Riyad Mahrez kepada kelab Saudi, Al-Ahli dengan perpindahan 30 juta pound (RM179 juta).
Pemain berusia 32 tahun itu sudah menjalani pemeriksaan kesihatan semalam dengan mengikat kontrak tiga tahun, sekali gus menyertai Edouard Mendy dan Roberto Firmino.
Selain Mahrez, pertahanan England, Kyle Walker juga dalam proses perpindahan ke Bayern Munich, manakala Joao Cancelo bakal berpindah secara tetap selepas dipinjamkan ke kelab Bundesliga berkenaan musim lalu. – AGENSI