PETALING JAYA: Pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe menyeru anak-anak buahnya memanfaatkan aksi di laman sendiri untuk mengutip tiga mata penuh apabila menerima kunjungan Penang FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini.
Kata Cheng Hoe, episod kekalahan 1-0 kepada Sri Pahang FC dalam aksi terakhir di Kuantan, Ahad lalu perlu dilupakan segera bagi mengukuhkan kedudukan Selangor di tangga kedua Liga Super di belakang Johor Darul Takzim (JDT).
“Memang kita kecewa dengan kekalahan itu tetapi pemain kena bangkit segera memandangkan Selangor dan Sri Pahang berkongsi 34 mata di tangga kedua.
“Jadi, kita tidak boleh bazirkan peluang dan jangan biarkan skuad Tok Gajah ambil kesempatan.
“Dalam sesi latihan, semua nampak positif dan pemain memberi yang terbaik untuk pastikan pasukan raih kemenangan
“Setiap pasukan yang lawan kita akan turun dengan semangat yang kuat dan mahukan kemenangan. Apa pun, kita sudah bersedia untuk berdepan situasi ini dan harap pemain tidak melakukan sebarang kesilapan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Cheng Hoe berkata, pemain terutama pertahanan tidak boleh alpa kerana Penang memiliki jentera serangan ampuh dengan import mereka yang boleh mengambil kesempatan jika diberi peluang.
“Kita kena berhati-hati, mereka ada Sony Saad, Adriano dan Gomez (Da Silva) di bahagian serangan. Jadi, pertahanan kita perlu bekerja keras untuk mengekang mereka.
“Jentera serangan mereka nampak berkesan ketika menumpas Kelantan FC 4-3 sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Cheng Hoe berkata, pemain import baharu skuad Gergasi Merah, Richmond Boakye berada pada prestasi terbaik dan mula menampakkan keserasian bersama pasukan.
“Boakye sekarang sudah mula serasi dan boleh menyesuaikan diri dengan keadaan semasa serta tidak kekok bermain, namun kita akan lihat sama ada dia akan diturunkan atau tidak.
“Semua pemain kena bersedia jika diturunkan, termasuk Safuwan Baharudin baru dibawa masuk dari Negeri Sembilan. Dia tidak mengambil masa lama untuk serasi kerana sebelum ini sudah bersama kita,” katanya.