PETALING JAYA: Kenaikan ganjaran atlet kebangsaan kepada tiga kali ganda mampu menaikkan moral pemenang pingat perak dan gangsa, terutama mereka yang beraksi pada Sukan SEA, kata jaguh lompat bergalah negara, Nor Sarah Adi.
Pemenang pingat perak pada temasya Kemboja, Mei lalu itu berkata, sekurang-kurangnya atlet yang berada di tempat kedua dan ketiga berasakan sumbangan mereka kepada negara dihargai.
“Bagi saya, kalau betullah pengumuman itu, ia bagus kerana atlet baharu pun akan lebih semangat nak bersaing.
“Macam atlet yang dapat gangsa dan perak, mereka akan rasa berbaloi kalau dapat tiga kali ganda,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bermula tahun hadapan, ganjaran kepada atlet kebangsaan akan dinaikkan tiga kali ganda.
Bagaimanapun ganjaran itu hadir menerusi penajaan atau syarikat korporat, bukan kerajaan.
Sarah, 23, menjelaskan, insentif yang diberi pada ketika ini untuk pemenang pingat perak dan gangsa tidak selumayan atlet yang meraih emas.
Pada hakikatnya ramai dalam kalangan atlet yang memenangi perak dan gangsa tidak begitu gembira dengan ganjaran yang mereka perolehi.
“Sebab macam sekarang insentif untuk gangsa dan perak, ramai tak berapa seronok, sedangkan menang Sukma (Sukan Malaysia) pun dapat banyak lagi,” ujarnya.
Sarah berkata, sekalipun kilauan pingat yang dijelmakan hanyalah perak dan gangsa, tetapi keringat serta pengorbanan atlet setara dengan mereka yang memenangi pingat emas.
Menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam), atlet yang memenangi pingat emas pada Sukan SEA akan meraih RM20,000 dan bagi emas kedua serta seterusnya sebanyak RM10,000.
Pemenang pingat perak dan gangsa masing-masing membawa pulang RM3,000 serta RM1,000.